Selepas trak pikap Mercedes-Benz X-Class diperkenalkan tahun lalu, ada desakan dari BMW Australia terhadap ibu pejabat mereka di Munich untuk menghasilkan produk yang sama kerana terdapat permintaan pada pasaran tersebut (Australia popular dengan kenderaan sebegini dan digelar sebagai UTE disana). Namun selepas itu tiada respon dari BMW tentang perkara tersebut, sehinggalah minggu lalu, mereka mendedahkan sebuah trak pikap yang digelar BMW X7 Pick-Up.

Tidak seperti Merc X-Class yang membina trak pikap ladder frame berasaskan Nissan Navara NP300, pikap BMW ini menggunakan asas SUV paling mewahnya buat masa ini iaitu BMW X7! Tetapi, ini hanyalah sebuah model konsep, dihasilkan hanya sebuah dalam dunia, dan ia dibina oleh sekumpulan pelatih vokasional BMW Group.

BMW telah mengubahsuai bahagian belakang X7 sedia ada, atau secara spesifiknya memotong bahagian belakang bermula dari tiang-C, kemudian juntaian belakangnya dipanjangkan lagi bagi membentuk sebuah bed kargo bersaiz 140 cm (200 cm jika pintu tailgate dibuka untuk memberikan ruang tambahan) bagi menjadikan ia sebuah trak pikap.

Sesuai dengan imej X7, bahagian bed berkenaan dibina dengan mewah menampilkan penggunaan kayu jati. Manakala rekaan elemen parapet, pemegang tangan dan juga jalur-jalur kemasan dihasilkan dari komponen tekanan SLS 3D. Bukan hanya bahagian bed ini diubahsuai, malah pelatih-pelatih berkenaan telah menghasilkan komponen bumbung, pintu belakang dan pintu tailgate dengan menggunakan bahan CFRP, membolehkan trak pikap ini 200 kg lebih ringan dari X7 standard, walaupun panjangnya bertambah 10 cm.

Menurut BMW, trak pikap konsep ini dihasilkan hanya dalam masa 10 bulan oleh 12-orang pelatih, terdiri dari jurusan badan dan mekanik kenderaan, mekatronik kenderaan dan pembinaan model teknikal. Trak pikap ini masih menggunakan unit janakuasa asal X7 xDrive40i iaitu enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris, berkuasa 340 PS/430 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik Steptronic dan sistem pacuan semua roda XDrive.

Sistem suspensi udara dengan dua tahap larasan dari X7 standard juga dikekalkan pada trak pikap ini. Dan bagi mendemonstrasikan kebolehannya untuk mengangkut, sebuah motosikal BMW F 850 GS diletakkan pada bahagian kargo baharu tersebut.