Selepas beberapa pasaran lain, Jepun akhirnya menerima Toyota Corolla generasi ke-12 secara rasmi. Sama seperti Eropah, tiga bentuk badan ditawarkan iaitu Corolla (sedan), Corolla Touring (wagon; sebelum ini dikenali sebagai Corolla Axio dan Corolla Fielder), serta Corolla Sport (hatchback).

Untuk pasaran domestik Toyota ini, kedua-dua Corolla dan Corolla Touring berkongsi muka depan yang sama seperti Levin yang dijual di China (kita pula mendapat muka seperti model Eropah), manakala Corolla Sport pula mempunyai muka yang sama seperti versi hatchback yang dijual di Eropah dan Amerika Syarikat.

Menariknya, model Corolla pasaran Jepun ini menggunakan lencana hadapan yang tertulis “C” pada gril, dan bukannya lencana biasa Toyota. Walaupun begitu, lencana berlambang Toyota masih digunakan pada bahagian belakang serta rim.

Bukan setakat itu, Corolla sedan dan wagon versi Jepun juga mempunyai dimensi yang berlainan berbanding model pasaran lain. Untuk Corolla, ukurannya adalah 4,495 mm panjang (-135 mm berbanding pasaran lain), 1,745 mm lebar (-35 mm), 1,435 mm tinggi (tiada perubahan) dan jarak roda 2,640 mm (-60 mm).

Untuk Corolla Touring pula, kebanyakan ukurannya adalah sama seperti versi sedan, tetapi lebih tinggi menjadi 1,460 mm. Jika dibandingkan dengan model pasaran lain, wagon JDM 155 mm lebih pendek, 45 mm kurang lebar dan jarak roda lebih pendek 60 mm. Dimensi spesifik untuk hatchback JDM tidak didedah.

Bagi enjin, pilihannya bermula dengan unit empat silinder petrol 1.8 liter NA 2ZR-FAE berkuasa 140 PS dan 170 Nm yang dipadankan bersama transmisi Super CVT-i, menyampaikan kuasa kepada roda hadapan. Enjin ini hanya ditawarkan untuk Corolla dan Corolla Touring.

Seterusnya adalah enjin empat silinder 1.2 liter turbo 8NR-FTS berkuasa 116 PS dan 185 Nm, yang boleh dipadankan dengan transmisi Super CVT-i atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan. Enjin ini boleh didapati untuk semua model dengan pacuan roda hadapan dan transmisi manual, tetapi hanya Corolla Sport sahaja yang ditawarkan dengan transmisi CVT pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda.

Akhir sekali, Toyota turut menawarkan enjin empat silinder 1.8 liter 2ZR-FXE (98 PS dan 142 Nm) yang dibantu motor elektrik 53 PS/163 Nm dan bateri nickel-metal hydride. Enjin ini hanya dipadankan bersama transmisi e-CVT, dengan pacuan roda hadapan untuk semua bentuk badan, dan pacuan empat roda (E-Four) untuk Corolla dan Corolla Touring sahaja. Harga Corolla di Jepun adalah bermula dari 1.936 juta yen (RM74,844), hingga 2.998 juta yen (RM115,864).