Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

Honda telah mengumumkan bahawa model generasi baharu hatchback segmen-B mereka, Honda Fit/Jazz bakal membuat kemunculan sulungnya pada Tokyo Motor Show 2019 yang akan berlangsung bulan hadapan.

Tiada perincian penuh mahupun gambar disertakan pada pengumuman tersebut, tetapi Honda telah mengesahkan bahawa versi hibrid Honda Jazz generasi seterusnya itu bakal menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) seperti Honda Accord dan CR-V Hybrid terkini, tetapi dalam versi lebih kecil.

Menurut Honda, sistem i-MMD yang lebih kompak dari sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) sedia ada kerana tidak mempunyai kotak gear akan membolehkan Jazz tersebut menerima ruang dalaman yang lebih luas.

Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

Versi petrol biasa turut akan diteruskan dengan konfigurasi sama seperti sekarang dengan menempatkan tangki petrol pada bawah tempat duduk hadapan membolehkan konfigurasi tempat duduk Ultra Seat yang versatil terus ditampilkan pada Jazz.

Gambar illustrasi yang anda lihat ini bukanlah imej rasmi dari Honda, tetapi ia adalah buah tangan dari pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin. Chin menghasilkan illustrasi tersebut bukan secara hentam keromo, tetapi berdasarkan gambar spyshot prototaip sebenar Honda Jazz generasi baharu yang ditemui sedang diuji.

Versi terbaharu berkenaan menampilkan rekaan yang lebih bulat dan kelihatan lebih lembut, jika dibandingkan dengan model generasi GK sedia ada dengan elemen lebih tajam dan agresif.

Selain dari Jazz baharu ini, Honda turut akan mempamerkan MPV Freed facelift, dan juga pengenalan semula Accord di Jepun setelah empat tahun tidak dijual pada pasaran negara matahari tersebut. Tokyo Motor Show 2019 akan berlangsung bermula 23 Oktober sehingga 4 November, dan jangan lupa untuk nantikan laporan langsung kami dari sana pada tarikh berkenaan.

GALERI: Spyshot Honda Jazz generasi seterusnya

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required