Proton 1 Tank Adventure 2019 pusingan akhir – Kota Bharu ke Johor Bahru hanya dengan 1 tangki petrol!

Proton 1 Tank Adventure 2019 pusingan akhir – Kota Bharu ke Johor Bahru hanya dengan 1 tangki petrol!

Setelah berlangsungnya pusingan untuk bahagian Semenanjung Malaysia, kemudian ke Sabah dan Sarawak, akhirnya kesemua juara untuk setiap bahagian turun untuk beradu kemahiran memandu secara ekonomi ke pusingan akhir Proton 1 Tank Adventure 2019 hujung minggu lalu. Jika sebelum ini perjalanan hanya meliputi sekitar 500 km-600 km, pusingan akhir ini menyajikan cabaran lebih ‘gila’ kerana peserta perlu untuk menghabiskan pertandingan yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Johor Bahru, Johor dengan bekalan hanya satu tangki petrol!

Macam tak percaya kan? Tapi ini hakikatnya kerana penulis sendiri adalah salah seorang peserta dan tidak menyangka ianya memang boleh dilakukan. Sebanyak 18 buah kereta Proton mengharungi perjalanan dua hari dari hujung ke hujung Semenanjung Malaysia sejauh 710 km ini, dibahagikan dalam tiga model iaitu Saga, Iriz serta Persona, dan bertanding dalam kategori Pemilik dan Media. Lebih kurang 80 peratus dari laluan yang ditetapkan adalah jalan pesisir pantai Laut China Selatan yang turut meliputi jalan berbukit dan pekan-pekan kecil, manakala selebihnya adalah laluan di Lebuhraya Pantai Timur dari Terengganu ke Kuantan, Pahang.

Bukan sahaja sekadar berjalan, para peserta juga perlu berhenti di berberapa checkpoint yang ditetapkan seperti di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu dan juga di pantai berhampiran Mersing Habour Center bagi mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran yang telah disediakan oleh penganjur. Peserta juga telah diberikan had masa untuk sampai ke setiap checkpoint bagi memaksa mereka untuk memandu pada kelajuan purata sekitar 70 km/j.

Pertandingan ini berakhir di Stesen Petronas Jalan Indah, Taman Bukit Indah Johor Bahru di mana setiap tangki kereta akan di isi semula petrol Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive bagi mengukur berapa banyak bahan bakar yang digunakan. Seperti sebelum ini, segala pemantauan dan pengiraan bahan api adalah dilakukan oleh pihak Malaysia Speed Festival (MSF), diketuai oleh Adian Yein Khalid.

Bacaan terbaik dicatatkan pada peringkat akhir ini adalah 4.82L/100km bagi Proton Iriz, 5.03L/100km bagi Proton Persona dan 4.65L/100km bagi Proton Saga. Secara teorinya, kedua-dua model Iriz dan Saga mampu mengembara lebih 800km (berdasarkan tangki sebanyak 40L) dengan mudah manakala Persona belum lagi untuk mencapai ke tahap itu.

Keputusan yang dicatatkan oleh semua peserta adalah hampir sama. Sebagai contoh, daripada enam buah Proton Saga yang bersaing, empat daripadanya mencatat bacaan kurang daripada 5.00L/100km, membuktikan bahawa walaupun dalam keadaan pemanduan seperti biasa dengan pemandu dan gaya pemanduan berbeza, tidak mustahil untuk mendapatkan angka penjimatan bahan api yang luar biasa.

“Cabaran PROTON 1 Tank Adventure telah meliputi perjalanan sejauh lebih 2,305km untuk mengukur kecekapan bahan api kereta keluaran kami. Ditambah dengan pasukan yang bersaing dalam keempat-empat peringkat dan telah mencatatkan perjalanan lebih 40,000km. Ini merupakan satu bukti kukuh untuk penjimatan bahan api kereta Proton kerana angka-angka tersebut diperolehi melalui pemilik kereta dan barisan media yang melalui jalan raya seperti biasa berbanding hasil dari ujian makmal yang dijalankan,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

“PROTON berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti yang melibatkan pelanggan di masa akan datang kerana kami ingin menunjukkan kepada semua pembeli tentang kelebihan kereta Proton. Dari kecekapan bahan api sehinggalah rekaan dan ciri-ciri termaju serta sistem pemanduan dan pengendalian mantap yang ada pada semua kereta Proton, terdapat banyak sebab untuk memilih Proton sebagai kereta mereka dan aktiviti seperti 1 Tank Adventure ini merupakan landasan yang hebat untuk menonjolkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh kereta Proton,” tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required