Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

Kita di Malaysia tidak menerima Mazda 3 dengan enjin SkyActiv-X – mungkin disebabkan harga; model dengan enjin 2.0L SkyActiv-G sahaja sudah mencecah RM160k, ia mungkin jauh lebih tinggi jika dipadankan enjin jauh lebih canggih tersebut dan harganya mungkin tidak masuk akal untuk sebuah kereta segmen-C. Bukan kita sahaja, malah pasaran yang besar seperti Amerika juga tidak menerima enjin berkenaan.

Namun untuk pasaran yang telah pun menerima enjin SkyActiv-X tersebut seperti Jepun dan Eropah, lain pula ceritanya. Menurut Mazda, mereka menerima permintaan luar jangkaan terhadap enjin ini. Di kedua-dua pasaran berkenaan, enjin SkyActiv-X bukan sahaja diberikan pada hatchback dan sedan Mazda 3, malah ia turut menjana versi crossover model berkenaan iaitu Mazda CX-30.

“Sejak kami lancarkan enjin ini, kami terima respon yang menyakinkan: 60 peratus dari tempahan Mazda 3 sekarang adalah model yang dijana enjin SkyActiv-X, serta 45 peratus tempahan untuk crossover Mazda CX-30,” kata CEO Mazda Eropah Yasuhiro Aoyama kepada Automotive News Europe.

Di Eropah, model dengan enjin SkyActiv-X ini juga dijual pada harga jauh lebih mahal dari model lain. Di Jerman misalnya, Mazda 3 yang dijana enjin 2.0L SkyActiv-G dijual pada harga bermula 23,290 euro (RM107k), manakala Mazda 3 dengan enjin 2.0L SkyActiv-X pula dijual pada harga bermula 26,790 euro (RM123k).

Enjin Mazda SkyActiv-X berkenaan sebelum ini dikhabarkan akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

Namun setelah ia didedahkan, enjin tersebut sebenarnya menggunakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) – berfungsi hampir sama dengan HCCI, tetapi masih menggunakan palam pencucuh bagi membolehkan pemasaan pembakaran dikawal dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, serta memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan.

Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

Secara ringkas, enjin ini sebenarnya lebih mirip kepada enjin diesel dengan strok yang lebih panjang dan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (16.3:1!) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar, tetapi beroperasi dengan petrol.

Ini membolehkan enjin 2.0L SkyActiv-X pada Mazda 3 dan CX-30 menghasilkan kuasa 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 224 pada takat 3,000 rpm, serta beroperasi antara 20% hingga lebih 30% lebih cekap dan emisi CO2 pula dapat dikurangkan sekitar 5 peratus hingga 10 peratus berbanding enjin SkyActiv-G biasa.

Pada pasaran Eropah, model-model yang dijana enjin SkyActiv-X ini juga dibekalkan standard dengan sistem hibrid ringkas 24-volt Mazda M Hybrid, membolehkan ia mencapai bacaan emisi CO2 serendah 122 hingga 157 gram untuk setiap kilometer, berdasarkan ujian WLTP Eropah yang lebih ketat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required