Minggu lalu, satu majlis khas bagi menandakan permulaan pengeluaran model CKD bagi Proton X70 telah pun diadakan, bertempat di kilang baru Proton Tanjung Malim. Bagaimanapun, model versi CKD berkenaan belum ditunjukkan secara terperinci kepada pihak media.

Proton X70 CKD 2020 hanya ditampilkan secara ringkas untuk tujuan perasmian roll-out berkenaan, sebelum kemudiannya di”sorok” semula. Namun, ada beberapa perkara yang sempat diperhatikan pada X70 CKD berkenaan, serta perancangan yang sedang berlangsung di pihak Proton, termasuk juga bagi tujuan eksport dan penekanan terhadap Tg. Malim yang ingin dijadikan hab pemasangan kenderaan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.

Secara umumnya, rekabentuk X70 CKD 2020 kelihatan tidak banyak berbeza daripada versi CBU yang dijual ketika ini. Beberapa pembaharuan yang dapat dilihat secara ringkas antaranya ialah penggunaan logo baru Proton pada wajah hadapannya. Di belakang, X70 nampaknya akan dilengkapi dengan ciri auto tailgate.

Selebihnya, masih belum didedahkan secara rasmi lagi. Tetapi, berdasarkan peningkatan yang dilakukan pada model sama dipasaran lain, kita juga mungkin boleh jangkakan penggunaan transmisi DCT tujuh-kelajuan yang lebih cekap prestasi dan menjimatkan bahan api. Namun, perkara ini hanya akan dapat disahkan sebaik sahaja perincian lanjut tentang X70 CKD 2020 didedahkan nanti.