Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Umum sudah mengetahui negara kita menerima model baru agak lambat bukan sahaja melihat kepada seluruh dunia tetapi dalam Asia Tenggara sendiri. Banyak yang dilihat oleh pengeluar sebelum melancarkan model baru di sesebuah pasaran, terutamanya jumlah jualan dan bagaimana model itu boleh serasi dengan pengguna.

Memandang dari sisi positif, sekurang-kurangnya kita boleh membiarkan pengguna di negara lain menggunakan model baru tersebut terlebih dahulu, dan melihat sekiranya ada masalah atau penambah baikan yang boleh dibuat.

Dengan tahun 2019 yang sudah hampir berakhir, kita telah melihat banyak model baru yang menarik diperkenalkan di seluruh dunia, terutamanya waktu pameran EICMA November lalu. Sudah tentu, kebanyakannya masih belum tiba di Malaysia dan membuatkan kita tertunggu-tunggu. Di sini kami sediakan senarai lima model pilihan dan kami percaya anda juga anda senarai sendiri.

Triumph Tiger 900

Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Model adventure ini menjadi satu contoh kenapa bukan semua orang perlukan jentera yang berkapasiti 1,000 cc dan lebih berat untuk tujuan kembara. Melalui pengalaman kami dengan Tiger 800 sebelum ini, ia bukan sahaja memberikan kepuasan untuk perjalanan atas jalan biasa, tetapi juga boleh dikendali dengan mudah atas jalan offroad.

Peningkatan utama pada model ini adalah enjin 888 cc, dengan kuasa yang meningkat menjadi 93.9 hp dan 87 Nm tork. Kesemuanya ada lima versi untuk model baru ini dan ia melibatkan peningkatan lain seperti kerangka lebih ringan, bentuk lebih kurus, brek Brembo serta ergonomik yang lebih baik.

Pada bahagian keselamatan dan elektronik, bergantung kepada versi, ia boleh dilengkapi dengan ABS, Cornering ABS, Traction Control yang dioptimakan dengan penggunaan Inertial Measurement Unit (IMU), cruise control, pemanas tangan, quickshifter naik dan turun gear, pemanas tempat duduk dengan kawalan berasingan dan pemerhati tekanan angin tayar.

Kawasaki ZX-25R
Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Motosikal sports kapasiti rendah seperti 250 cc sentiasa dekat dengan pengguna kerana ia memberi peluang kepada penunggang baru untuk berjinak-jinak dengan menyediakan platform yang sesuai sebelum mereka naik taraf kepada model sports yang berkapasiti lebih tinggi.

Kebanyakannya menggunakan enjin satu atau dua silinder, tapi baru-baru ini Kawasaki telah memperkenalkan model yang dikuasakan enjin 250 cc empat silinder. Ia bukanlah tetapan enjin yang baru, kerana sebelum ini pernah digunakan pada model ZXR250 yang terkenal dengan hos udara seperti “hos mesin basuh” di atas tangki.

Model ini masih belum dilancarkan untuk jualan di mana-mana pasaran pun lagi, tetapi Kawasaki telah mendedahkan perincian pentingnya yang termasuk enjin DOHC yang boleh dikerah lebih 17,000 rpm, fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

Aprilia RS660
Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Sejak bulan Julai 2018, pengedaran motosikal Aprilia di Malaysia diuruskan oleh syarikat baru iaitu Didi Resources Sdn Bhd. Melaluinya, pengguna boleh mengharapkan servis yang lebih baik dan ketibaan model baru yang menarik.

Apabila disebut tentang jenama Itali ini, mungkin ramai yang teringat kepada model sports 1.0 liter RSV4 serta naked Tuono dan Shiver, tetapi waktu EICMA 2019 mereka telah memperkenalkan model sports pertengahan yang dikenali sebagai RS660.

Model ini banyak mewarisi rekaan daripada RSV4, tetapi menggunakan enjin dua silinder selari 660 cc yang mampu menghasilkan sehingga 100 hp dan berat badan cuma 169 kg. Ia boleh dijangka mempunyai karekter agresif yang sudah sinonim dengan motosikal sports Aprilia dan dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Cruise Control, Aprilia Quick Shift (naik dan turun), Aprilia Engine Brake, Cornering ABS serta pilihan lima mod tunggangan.

Yamaha Tenere 700
Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Kami tidak boleh menahan diri daripada meletakkan model ini dalam senarai kerana ia boleh dianggap sebagai serba guna dan jika dilihat di Eropah, harganya adalah jauh lebih murah daripada KTM 790 Adventure yang berada dalam segmen sama.

Antara sebab ia boleh ditawarkan kepada pengguna dengan harga sebegitu adalah kelengkapan yang tidak terlalu berteknologi tinggi kalau dibandingkan dengan model lain. Ia dilengkapi dengan fork USD 43 mm di hadapan, monoshock belakang, rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang yang dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70, tangki bahan api 16 liter, panel paparan LCD, lampu hadapan LED serta pelindung tangan.

Enjinnya pula adalah sama seperti MT-07, iaitu unit dua silinder crossplane dua silinder selari 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

Ducati Streetfighter V4
Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

Semasa Ducati Panigale V4 baru didedahkan, ramai yang sudah menjangka, ia pastinya akan diikuti seterusnya oleh model naked. Akhirnya pada bulan Oktober lalu, Streetfighter V4 didedahkan sepenuhnya, dengan masih menggunakan asas daripada Panigale V4 termasuklah enjin V Stradale 1,103 cc berkuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

Yang sudah jelas pastinya model ini mempunyai panel badan ringkas, manakala bila dibandingkan pula dengan Streetfighter 1098 sebelum ini, ia mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j dan berat kering cuma 178 kg. Ia juga ditawarkan dalam dua versi iaitu asas dan Streetfighter V4S.

Beza utama antara dua versi Streetfighter V4 ini adalah suspensi, di mana model asas mendapat unit boleh laras sepenuhnya secara manual manakala Streetfighter V4 S menggunakan suspensi elektronik Ohlins sama seperti Panigale V4. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

Walaupun dalam senarai ini cuma ada lima model motosikal, tetapi kami percaya anda juga mempunyai harapan dan jangkaan sendiri tidak kiralah model berkapasiti tinggi ataupun rendah. Kalau mahu dimasukkan dua lagi model berkapasiti rendah, kami mahu memasukkan Yamaha NMax 2020 dan juga Honda Winner X. Anda pula? Cuba kongsikan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Peminat 2 roda on Jun 15, 2020 at 12:47 am

    Kalau saya la,biar rekomen model yamaha MT 15/MT 25 masuk malaysia

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required