Sehari sebelum 2020 mengambil alih dekad ini, Caltex Malaysia mengumumkan petrol RON 95 Euro 4M telah pun mula dijual di kesemua 440 stesen minyaknya di seluruh negara.

Ia adalah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan seperti mana yang telah diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di mana mulai Januari 2020, petrol RON95 berkualiti tinggi dengan spesifikasi standard bahan bakar Eropah EURO4M (E4M) mula dijual di stesen minyak seluruh negara.

Shell Malaysia merupakan syarikat pertama yang mengumumkan penjualan RON 95 Euro 4M ini minggu lalu, tetapi hanya di lokasi terpilih sahaja. Walau bagaimana pun, mulai 1 Jan lalu, bahan api FuelSave 95 Euro 4M telah boleh didapati semua stesen minyaknya.

Manakala Petronas dan Petron juga masing-masing turut mengumumkan perkara yang sama beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu. Walau bagaimana pun, sehingga kini tiada pula pengumuman rasmi daripada BHPetrol mengenai Infiniti RON 95, tapi dipercayai ia juga telah mengambil langkah yang sama kerana ia telah pun digazetkan oleh kerajaan.

Spesifikasi bahan api Euro 4 ini mengandungi kandungan sulfur sebanyak 50 parts per million (ppm) iaitu angka ini kurang separuh daripada kandungan sama yang terdapat pada petrol RON 95 dengan piawaian Euro 2M sebelum ini. Sekaligus memberikan emisi kenderaan yang lebih rendah.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan harga bagi RON 95 akan diapungkan mulai Januari 2020. Walau bagaimana pun, perkara tersebut termasuk Program Subsidi Petrol (PSP) telah ditangguhkan sehingga tarikh yang dimuktamadkan oleh kabinet kelak.

Justeru, buat masa ini, kita masih boleh menikmati harga yang sama untuk RON 95 Euro 4M seperto Euro 2M, iaitu RM2.08 seliter sehinggalah PSP mula dilaksanakan.