TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

Tahun lepas adalah tahun pertama saya sampai ke Tokyo Auto Salon (TAS) – acara yang wajib anda pergi jika anda seorang mat kereta yang berkiblatkan JDM. Saya pasti bukan saya sahaja, anda yang membaca artikel ini juga beranggapan TAS akan sentiasa dipenuhi dengan Nissan Skyline R32, R33, R34, Silvia S13, S14, S15, Toyota AE86, Supra JAZ80, atau Mitsubishi Lancer Evo kan?

Tak, anggapan bergini adalah salah sama sekali. Tidak seperti negara luar yang masih ‘tersangkut’ dengan mesin-mesin JDM dari era 90’an, dalam Jepun sendiri sebenarnya sangat up to date. Ketika kami sampai ke Makuhari Messe (dewan di mana berlangsungnya TAS saban tahun), ia dipenuhi dengan jentera-jentera terbaharu seperti Honda Civic Type R FK8, Toyota 86, Honda Fit (Jazz) GK, Suzuki Swift Sport dan yang paling hot adalah model yang paling baru dilancarkan ketika itu – Suzuki Jimny – Ya, macam semua orang mahu modified Jimny ketika TAS 2019!

Dengan trend yang kami lihat tahun lalu, jadi tahun ini kami agak model yang paling banyak akan diubahsuai tentulah Toyota GR Supra, kerana bukan sahaja model paling baharu dilancarkan, malah ia sudah tentu kereta sport paling ditunggu-tunggu kerana mereka sudah lama tiada sebuah model dua-pintu pacuan belakang yang berkuasa sejak sekian lama.

TAS2020: Demam GR Supra landa Makuhari Messe!

Adakah orang Jepun sibuk dengan stigma “GR Supra ni BMW, bukan Toyota”? Tuan-tuan, orang Jepun ini semangat nasionalisma mereka tinggi. Mereka faham tentang prinsip kejuruteraan dan betapa payahnya jenama-jenama tempatan mereka untuk menghasilkan model-model sebegini dengan pelbagai kekangan yang ada. Justeru, jika ada kereta seperti Supra ini dihasilkan kembali, sudah tentu ia menjadi rahmat buat mereka.

Saya ingat lagi ketika Toyota memperkenalkan Toyota 86 pada tahun 2012 dahulu, ia menerima pelbagai kritikan yang kononnya ‘purist‘ dari luar Jepun yang mengatakan ia bukan “cucu” terus kepada AE86, ia adalah model rebadge Subaru dan pelbagai lagi.

Tetapi pelumba profesional Jepun, Nobuteru Taniguchi keluar dan berkata: “Sudah lama kita tidak kereta sport dalam pasaran, saya pasti ramai yang tunggu kereta ini (86). Kami perlu ingatkan orang ramai betapa seronoknya kereta sebegini, pelumba seperti saya bertanggungjawab untuk menjadikan kereta sport popular semula. Jadi bila HKS menawarkan saya sebuah 86 untuk berlumba di dalam D1GP, saya tiada sebab untuk menolak.

“Pada masa sekarang dalam pasaran hanya ada kereta mesra alam dan kereta keluarga yang dijual. Saya pasti dalam Toyota sendiri ramai yang membantah penghasilan 86 tersebut. Ini adalah langkah berani yang diambil oleh Toyota, untuk melancarkan 86 dalam situasi sukar seperti ini. Jadi untuk menyokong orang-orang yang berusaha membawa 86 ini ke pasaran, saya sendiri telah membeli kereta tersebut.”

Nampak, dah boleh bayang macam mana semangat mereka terhadap kereta-kereta sport keluaran tempatan seperti 86 dan Abang Longnya, GR Supra? Telahan kami agak tepat, dan sempena Tokyo Auto Salon 2020, Makuhari Messe penuh dengan Supra A90 yang diubahsuai!

Masuk sahaja dewan pertama, demam Supra dengan mudah sudah kelihatan. Di sini, booth pembuat rim terkenal, Work mempamerkan GR Supra pertama di dunia yang diubahsuai untuk kegunaan perlumbaan drift, dan pertama di dunia disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE dari Supra A80 sebelumnya iaitu GR Supra milik bekas juara D1 GP dan Formula D USA, Daigo Saito.

Sebelah Work adalah sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing dan ia dipenuhi dengan jentera-jentera litar GR Supra GT4 dan pelbagai lagi. Penala otai Toyota, Tachi Oiwa Motor Sports atau TOM’S turut hadir dengan GR Supra versi mereka; ini agak istimewa kerana Supra dengan kit badan lebar serta enjin yang lebih berkuasa tersebut bukan sekadar konsep, tetapi adalah model produksi yang dihasilkan dalam jumlah terhad yang boleh anda beli! Perincian TOM’S GR Supra ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Di booth HKS, ada tiga kereta yang dipamerkan, dan kesemua kereta tersebut adalah GR Supra; GR Supra 2JZ-GTE D1 GP untuk Taniguchi, GR Supra Aero dan GR Supra Street – perincian ketiga-tiga kereta tersebut boleh anda baca PADA PAUTAN INI.

HKS bukan hanya sekadar membawa tiga GR Supra ini, tetapi ada satu lagi GR Supra yang telah mendapat sentuhan mereka iaitu milik seorang lagi bintang drift, Manabu ‘Max’ Orido, dipamerkan di booth pengeluar tayar Yokohama. Supra milik Orido ini diubahsuai seperti Supra JZA80 miliknya sebelum ini dengan mengenakan livery belang Advan. Ia menerima kit badan lebar dan spoiler gergasi seperti GR Supra Taniguchi, tetapi kami difahamkan ini adalah GR Supra yang masih boleh digunakan di jalan raya.


Pengeluar kit badan yang sinonim dengan perlumbaan Time Attack, Varis turut tidak ketinggalan untuk berkarya dengan GR Supra baharu ini. Mereka hadir dengan dua buah GR Supra iaitu versi tanpa widebody, dan satu lagi dengan kit badan lebar digelar Supreme 90.

Kit Supreme 90 ini dihasilkan dari inspirasi satu lagi kit ikonik yang dihasilkan untuk Supra JZA80 yang digelar Varis Supreme, yang mana model asal tersebut turut di bawa dan diletakkan sebelah menyebelah. Supreme 90 ini diberikan liang bonet enjin yang sama seperti Supreme JZA80. Dan seperti kit Varis lain, pelbagai splitter dan spoiler yang sememangnya berfungsi untuk menghasilkan cengkaman terhadap permukaan jalan diberikan pada kereta ini.

Tak cukup dengan GR Supra drift, litar mahupun untuk kegunaan jalan raya, TAS 2020 kali ini juga menerima kunjungan GR Supra yang lahir di Amerika Syarikat iaitu GR Supra NASCAR, dipamerkan di booth Goodyear. Jentera ini mengambil bahagian dalam kejohanan NASCAR Xfinity Series (NXS), dan ia dibina oleh Toyota Racing Development (TRD) USA dan Calty Design Research.

Kesemua gambar GR Supra yang kami ambil ini hanyalah sebahagian kecil dari jumlah keseluruhan GR Supra yang berada dalam 11 dewan Makuhari Messe ini. Nak ambil semua memang tak larat, dan kami rasa paling sikit pun mungkin ada 50-60 buah Supra yang di bawa ke TAS 2020.

GALERI: Max Orido Advan GR Supra

GALERI: Daigo Saito Monster GR Supra

GALERI: Varis GR Supra

GALERI: HKS Nobuteru Taniguchi D1, Aero dan Street GR Supra

GALERI: TOM’S GR Supra

GALERI: Pelbagai Supra lain di Tokyo Auto Salon 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required