TAS2020: HKS rai kemunculan GR Supra dengan tiga A90 yang telah diubahsuai dari segi rupa & prestasi

TAS2020: HKS rai kemunculan GR Supra dengan tiga A90 yang telah diubahsuai dari segi rupa & prestasi

Seperti yang kami jangka, pengenalan Toyota GR Supra A90 pada tahun lalu akan memberikan impak besar kepada Tokyo Auto Salon 2020 – penala-penala dan pengeluar barang aftermarket dari Jepun tentunya bergembira untuk menghasilkan produk untuk kereta sport jenama nasional itu setelah kemarau model-model sedemikian sejak sekian lama. Salah satunya yang nampak begitu teruja adalah tuner JDM otai, HKS – ada tiga kereta demo diletakkan di booth mereka, dan ketiga-tiganya adalah Supra A90 untuk meraikan kemunculan semula kereta sport ikonik tersebut!

GR Supra dengan livery HKS Super Oil antara tiga Supra berkenaan, kalau anda peminat sukan drift rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini adalah GR Supra pertama yang diubahsuai oleh HKS, dan ia dihasilkan sebagai jentera drift untuk bintang dalam disiplin tersebut iaitu Nobuteru Taniguchi a.k.a “Drifter NOB”.

Untuk jentera drift ini, ia tidak lagi menggunakan enjin BMW B58 3.0 liter asal Supra A90 tersebut. Tetapi digantikan dengan enjin Supra generasi A80 sebelumnya iaitu 2JZ-GTE, yang ditingkat taraf dengan menaikkan kapasitinya dari 3.0 liter ke 3.4 liter, serta pelbagai peralatan prestasi lain seperti pengecas turbo HKS GTIII-4R bagi menghasilkan kuasa lebih dari 700 hp.

TAS2020: HKS rai kemunculan GR Supra dengan tiga A90 yang telah diubahsuai dari segi rupa & prestasi

Selain dari kit badan lebih lebar rekaan HKS sendiri, jentera drift Supra A90 ini turut tampil dengan perincian identiti seperti kereta-kereta lain yang dibina untuk Taniguchi seperti set rim Advan Racing GT, spoiler GT bersaiz gergasi, serta roda stereng Nardi Classico deep dish.

Kereta ini akan digunakan Taniguchi bukan sahaja untuk kejohanan D1GP, malah dalam siri kejohanan lain seperti FIA Intercontinental Drift Challenge dan sebagainya. Ia telahpun membuat penampilan sulung di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, dengan persembahan drift yang dilakukan oleh Taniguchi sendiri.

Di sebelah mesin drift ini, HKS telah meletakkan sebuah GR Supra putih yang diberi nama HKS GR Supra Aero. Seperti namanya, ia adalah unit yang menyerlahkan kit badan lebar binaan mereka ini untuk kegunaan jalan raya. Kit badan ini adalah sama yang digunakan pada jentera drift Taniguchi, dan juga kereta demo HKS yang dibawa ke SEMA tahun lalu, tetapi GR Supra Aero ini tidak diberikan sebarang livery perlumbaan, dan ia nampak lebih relevan di Wangan Bay Route di Tokyo atau Lebuhraya MEX di Malaysia.

TAS2020: HKS rai kemunculan GR Supra dengan tiga A90 yang telah diubahsuai dari segi rupa & prestasi

Tidak seperti kit Rocket Bunny yang nampak lebih bulat, overfender kit HKS ini menampilkan rekaan lebih bersegi pada penghunjung fender yang kelihatan seakan mengalirkan udara dari bampar hadapan. Rekaan sama diberikan pada overfender pada ruang roda belakang, dan ia turut ditambah dengan splitter udara di atas serta satu lagi di bawah yang bersambung dengan diffuser pada bampar belakang.

Tiada spoiler GT gergasi di belakang, sebaliknya kereta ini diberikan ‘ekor itik’ lebih menyerlah dari asal yang di rivet di atas hujung penutup but tersebut. Segala komponen gentian karbon seperti pada splitter hadapan dan diffuser belakang diperbuat dari Forged Carbon yang nampaknya sudah mula popular digunakan termasuk oleh pengeluar lain.

Rupa HKS GR Supra Aero ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim Advan Racing R6 berwarna merah, dengan saiz gergasi 20-inci x 10.5 jj di hadapan bersama tayar Advan Apex V601 bersaiz 255/35R20 dan 20-inci x 12 jj di belakang dengan tayar 305/30R20.

Kereta ketiga yang dibina oleh HKS untuk TAS 2020 adalah HKS GR Supra Street. Kereta berwarna hitam ini tidak diberikan kit badan ekstrem, sebaliknya ia lebih untuk menunjukkan segala perlalatan prestasi HKS untuk Supra generasi baharu ini, seperti yang telah di uji ikon Supra, Manabu ‘Max’ Orido sebelum ini.

Antara peralatan prestasi yang telah disumbatkan pada Supra Street (yang juga sudah boleh dibeli) ini termasuk siri sistem ekzos lengkap HKS Super Turbo, sistem suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax dengan pemadam “error code” untuk sistem suspensi adaptif asal, kotak komputer enjin HKS Mastery, dan juga kit kemasukan udara lebih sejuk bersama penuras udara HKS Super Power Flow.

Apa yang menarik lagi, HKS turut menawarkan tool kit khas untuk GR Supra A90 yang di hasilkan bersama Tone. Kenapa kit ini dihasilkan? Seperti yang kita tahu, Supra dihasilkan oleh Toyota bersama BMW dan ia turut di pasang oleh kilang Magna Steyr di Graz, Austria. Kalau anda pemilik kereta conti, anda akan tahu bahawa perkakas untuk membaikinya juga adalah berlainan.

Kit dari HKS ini menampilkan set pembuka bol bersaiz 13 mm, 16 mm dan 18 mm (kereta Jepun biasanya pakai 14 mm, 17 mm dan 19 mm), pembuka bol Torx jenis T dan E, serta pelbagai lagi perkakasan yang relevan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required