Volkswagen Golf GTD Mk8 – hot-hatch diesel berkuasa 200 PS/400 Nm dari enjin 2.0 liter turbo EA288 Evo

Volkswagen Golf GTD Mk8 – hot-hatch diesel berkuasa 200 PS/400 Nm dari enjin 2.0 liter turbo EA288 Evo

Selain dari GTI yang baru sahaja didedahkan, siri hatchback prestasi untuk model generasi kelapan Volkswagen Golf masih lagi disertai dengan model diesel iaitu VW Golf GTD Mk8. Seperti juga model petrol, model janaan diesel ini turut tampil dengan kuasa yang lebih besar dari versi GTD Mk7 sebelumnya.

Model generasi baharu ini dijana oleh enjin 2.0 liter TDI EA288 evo yang menghasilkan kuasa 200 PS dan tork maksima 400 Nm. Berbanding model GTD Mk7, ia kini menjana 16 PS lebih berkuasa dan 20 Nm lebih tujahan tork. Jika dibandingkan dengan versi GTI petrol pula, model diesel ini mencatatkan bekalan kuasa 45 PS kurang, tetapi lebih punchy dengan 30 Nm lebih tork.

Kuasa dari enjin dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, tanpa pilihan kotak gear manual enam-kelajuan seperti yang ditawarkan pada GTD Mk.7. Tiada sebarang angka prestasi atau penggunaan bahan api diumumkan oleh Volkswagen, tetapi model ini disifatkan sebagai “atlit ketahanan sebenar” dengan “penggunaan bahan api dengan jarak yang sangat jauh”.

Enjin baharu ini juga dihasilkan lebih mesra alam dari versi sebelum ini menerusi penggunaan sistem Twin Dosing bagi mengurangkan penghasilan nitrogen oksida (NOx) yang lebih banyak. Teknologi Twin Dosing ini menampilkan dua catalytic converter SCR dan akan menyuntik cecair AdBlue sebanyak dua kali bagi membolehkan ia mencapai bacaan NOx yang jauh lebih rendah.

Volkswagen Golf GTD Mk8 – hot-hatch diesel berkuasa 200 PS/400 Nm dari enjin 2.0 liter turbo EA288 Evo

Talaan casis untuk GTD ini adalah sama dengan apa yang diperolehi oleh GTI. Ia diberikan sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang. Model prestasi generasi baharu ini juga diberikan sistem Vehicle Dynamics Manager (VDM) pada sistem kawalan dinamik pemanduan buat pertama kali.

VDM akan mengawal fungsi XDS dan juga komponen untuk dinamik dari sisi bagi penyerap hentak yang menggunakan ciri opsyenal kawalan casis adaptif DCC. Menurut VW, ini akan memberikan talaan lebih luas antara dinamik maksimum dan juga keselesaan maksimum, secara tidak langsung akan memberikan dinamik pemanduan yang lebih tajam.

Untuk sistem DCC pula, selain mod pemanduan Eco, Sport dan Comfort, sistem tersebut kini turut menawarkan mod Individual yang membolehkan pemandu melaras dan memilih sendiri profil pemanduan mereka menggunakan slider digital.

Dalam mod Comfort, badan kereta ini akan “dipisahkan” dari permukaan jalan sebanyak yang boleh. Manakala dalam mod Sport pula perkara sebaliknya berlaku kerana pemandu boleh menetapkan untuk mendapatkan pergerakan badan paling minima dengan larasan paling maksima pada penyerap hentak bagi mendapatkan “pengendalian yang sangat terus”.

Dari segi rupa, model GTD ini tidak jauh berbeza dengan model GTI. Ia masih menerima lampu hadapan LED yang nipis di hadapan bersama gril bampar dengan elemen sarang lebah ikonik yang kelihatan begitu ‘luas’ dari hujung ke hujung, bersama lampu kabus LED yang ‘diisi’ dalam lima ‘kelongsong’ tersebut, disusun dalam bentuk-X. Yang berbeza adalah logo ‘GTD’ pada gril atas, dan jalur yang merentangi gril hanya dalam kemasan perak, tanpa jalur merah.

Pada bahagian sisi, kelihatan model GTD ini menerima angkup brek berwarna merah, logo GTD pada fender dan skirt sisi lebih labuh. Rekaan belakang juga sama dengan rekaan diffuser yang lebih agresif dan bersegi dari Mk8 standard dan juga logo GTD terletak di bawah logo VW utama pada pintu tailgate.

Selain logo, apa yang membezakan GTI dan GTD adalah tip ekzos – model diesel diberikan tip ekzos bulat berkembar kedua-duanya di sebelah kiri, manakala model petrol hadir dengan tip ekzos satu kiri dan satu kanan.

Pada bahagian dalaman, rupa keseluruhan juga masih sama dan dibezakan berberapa perincian kecil. Tiada jalur merah pada jejari roda stereng dan tempat duduk model GTD ini, tetapi digantikan dengan jalur perak. Pemandu menerima maklumat dari paparan instrumen Digital Cockpit dengan skrin 10.25-inci. Manakala di tengah papan pemuka hadir dengan skrin 10-inci lengkap dengan sistem navigasi.

Kabin Golf ini turut diberikan lampu suasana yang boleh dilaras sendiri oleh pemilik dengan pilihan 30-warna. Juga, apabila pemandu membuka pintu untuk masuk, butang penghidup enjin akan menyala seakan berdenyut sehinggalah enjin dihidupkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Myeongdong on Feb 28, 2020 at 10:43 pm

    Kia sportage 2.0 crdi pon lebey kurang ni gak power dia min…harga separuh kot..apedehal

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required