Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

Selain Mazda 2 2020 dan roadster MX-5 RF 2020, Bermaz Motor turut melancarkan SUV CX-9 yang dipertingkatkan. SUV tujuh-tempat duduk ini pernah menerima penambahbaikan pada Oktober 2018 yang termasuk dengan kehadiran sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360-darjah dan juga fungsi pengudaraan untuk tempat duduk hadapan.

Masih mengekalkan dua varian yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan memiliki identiti yang hampir sama, melainkan salah satunya adalah pacuan semua-roda. Untuk model 2020 ini, versi 2WD dijual pada harga atas jalan RM319,610.40 tanpa insurans, sementara varian 4WD pula berharga RM336,610.40. Kedua-duanya didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaran percuma selama lima-tahun/100,000 km. Di mana harganya adalah RM29,000 lebih mahal berbanding sebelum ini.

Bagi perubahan gayanya, rekaan lencana dan huruf CX-9 diberikan dikemaskinikan, disesuaikan dengan identiti korporat terkini Mazda. Sementara kemasan kelabu metalik baharu digunakan pada roda aloi aluminium yang bersaiz 20-inci.

Di dalamnya, kini ditampilkan dengan jahitan warna perak pada tempat duduk balutan kulit hitam dan skrin sesentuh infotainmen Mazda Connect telah dipertingkatkan dengan unit skrin yang lebih besar bersaiz 9-inci, masih dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bersama Commander Control.

Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

Kelengkapan tambahan lain termasuklah butang penahan brek automatik yang terletak berhampiran dengan brek parkir elektronik, sementara sistem pengingatan tali pinggang keledar kini diberikan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk, berbanding hanya pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan seperti sebelum ini. Penumpang di barisan ketiga juga kini turut menerima dua port pengecas USB, tambahan kepada satu unit sedia ada sebelum ini dan untuk barisan pertama dan kedua juga ada dua port berkenaan untuk setiap satunya.

Enjin 2.5 liter pengecas turbo SkyActiv-G empat-silinder petrol masih bertugas untuk menghamburkan kuasa sehingga 228 hp pada 5,000 rpm dan lonjakan tork hingga 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik torque converter SkyActiv-ZDrive enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda-hadapan atau pun kesemua roda menerusi sistem pacuan semua-roda i-Activ.

Model AWD kini didatangkan dengan Bantuan Cengkaman Off-road, lanjutan bagi Sistem Kawalan Cengkaman (TSC). Butang tersebut menggantikan butang kawalan cengkaman biasa, dan apabila ia dihidupkan, ia akan membantu pemandu untuk melenjan laluan off-road dengan mengurangkan tork enjin dan menambahkan kuasa brek pada roda tanpa cengkaman.

Kelengkapan baharu lain untuk penjana kuasa ini termasuklah teknologi melahu i-Stop yang tidak ditampilkan pada model sebelum ini, tetapi sistem pemulihan tenaga berasaskan kapasitor i-ELOOP masih tidak diberikan. Selain itu, Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) turut diberikan, menggantikan sistem G-Vectoring Control yang tanpa penvektoran tork oleh brek.

Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

Kelengkapan standard untuk kedua-dua varian 2WD dan 4WD termasuk lampu utama LED larasan-sendiri, automatik, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik, tailgate kuasa, bumbung matahari kuasa, penderia parkir hadapan dan belakang (empat unit bagi setiap satu) dan kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

Di dalamnya, ia didatangkan dengan tempat duduk kuasa, dengan larasan 10-hala dan fungsi memori dua-posisi untuk bahagian pemandu, dan penumpang hadapan pula hanya enam-cara larasan. Seperti yang dimaklumkan, fungsi pengaliran udara dan pemanas pada tempat duduk ditawarkan secara standard.

Manakala untuk barisan kedua boleh dipisahkan secara 60:40 dengan kawalan akses mudah untuk ke barisan ketiga, yang boleh dipisahkan secara 50:50. Lain-lain kelengkapan termasuk paparan kluster instrumen 4.6-inci, berwarna, Paparan Pemanduan Aktif yang dipancarkan pada cermin hadapan, kawalan suhu tiga-zon dengan corong udara pada barisan kedua, fungsi navigasi dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara.

Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

Kit keselamatan tidak banyak perubahan seperti sebelum ini, dan ia termasuklah enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai), ABS, DSC, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, TCS, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan cagak Isofix untuk tempat duduk barisan kedua.

Turut dikekalkan ialah bantuan pemanduan i-ActivSence dan set keselamatan termasuklah Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LAS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA). Sistem Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) masih kekal tetapi telah ditambah baik dengan pengesan pejalan kaki untuk hadapan dan belakang.

CX-9 ditawarkan dengan lima pilihan warna – Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl dan Sonic Silver – untuk kedua-dua varian, dan terdapat beberapa pilihan aksesori. Ini termasuklah penutup tonneau untuk but yang berharga RM2,600 dan lapisan cermin keselamatan (Skytint) berharga RM2,000. Untuk spesifikasi penuh Mazda CX-9 2020, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required