Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan bahawa perlaksanaan undang-undang menerusi Akta 342 masih dijalankan seperti biasa walaupun kita sekarang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dan hari ini, beliau mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menahan 10 individu kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB, lapor Astro Awani.

Dalam sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melanggar SOP untuk mencegah penularan wabak Covid-19 berkenaan.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan. Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kerjasama dan disiplin diri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan, sebanyak 62,656 pemeriksaan dilaksanakan bagi memantau dan menguatkuasa SOP PKPB di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 4,476 pasar raya, 5,187 restoran dan 1,474 kilang serta 3,100 bank telah diperiksa.

“Pemeriksaan juga telah dibuat di 1,210 terminal pengangkutan darat, 180 terminal pengangkutan air dan 71 terminal pengangkutan udara.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 25,807 buah kenderaan persendirian dan 2,541 kenderaan awam. Turut diperiksa adalah 2,015 pasar awam, 3,580 tempat ibadah, 1,498 tempat riadah dan 281 tapak binaan,” jelas beliau.

Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam.

Walau bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan, dan kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah Aidilfitri hanya pada hari pertama, dengan syarat satu rumah hanya boleh menerima kunjungan maksimum 20-orang sehari dan sentiasa mengikut SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.