Perbualan di meja kedai mamak atau dalam sembang-sembang santai kadang kala saya gunakan untuk mengesan kecenderungan orang dalam banyak hal. Dalam istilah orang-orang yang kononnya sedikit kompleks, perkara ini disebut sebagai “sentimen-sentimen” semasa, yang mungkin sedang bergerak dan menangkap perhatian masyarakat umum.

Spektrum perbualan pula tentulah melibatkan segala macam hal. Tetapi, tidak ketinggalan sebenarnya ia diselit untuk mengesan selera atau imaginasi orang terhadap model-model kenderaan. Biasanya, hal ini di pacu dari dua sisi; berita pengenalan model-model terbaru (ini yang paling kerap), atau kebetulan ada kenalan yang mungkin sedang mencari-cari punca kereta apa yang patut dibeli, atau ingin dicadangkan kepada orang lain.

Seingat saya, dalam kelompok mereka yang sedikit muda – katakan sekitar usia 35 tahun dan profesional – nama Mercedes-Benz antara yang selalu meniti di bibir mereka ketika membincangkan kereta-kereta yang berada di dalam segmen premium. Selain BMW, Volvo dengan penawarannya yang terkini, terutama dalam pakej kenderaan yang lebih kompak seperti XC40 juga banyak kali muncul.

Tetapi ada sesuatu tentang penawaran model kompak Mercedes-Benz – apa lagi kalau bukan barisan model A-Class – yang membuatkan ramai orang tertarik. Bagi golongan ini, nama Mercedes-Benz tidak lagi kedengaran terlalu jauh dan sukar dicapai seperti dulu, dan A-Class biasanya akan menjadi model pembuka jalan untuk tujuan itu.

Agak mudah difaham, kerana ini model baru yang muncul denga imej yang agak terpisah daripada imej “orang tua” jenama bintang tiga bucu ini – seperti E-Class, misalnya. Dan memang A-Class ditujukan kepada golongan muda-mudi. Walaupun Mercedes-Benz sejak beberapa tahun kebelakangan ini ingin membawa imej “hip” dan “cool” sebagai payung besar untuk jenama mereka, tetapi model kenderaan yang benar-benar membawa semangat itu ialah A-Class.

Untuk pasaran tempatan ketika ini pula, tidak hanya ada satu pilihan bagi mereka yang ingin mendekati model berkenaan. Ada tiga model A-Class yang dijual di Malaysia ketika ini; A-Class V177 versi sedan dan juga A-Class W177 versi hatcback. Awal pengenalannya dulu, A-Class yang asli adalah dari versi hatchback ini, yang tampil merangkum dengan segala imej dan semangat yang energetik.

Jangan keliru, yang disebutkan ini baru penawaran yang membezakan jenis badan kereta terbabit, belum lagi menyentuh tentang perbezaan varian atau tingkat kemasan yang ada bagi setiap satu model – setiap satunya dalam varian A200 dan juga A 250. Tidak lupa juga ada model AMG bagi versi sedan terbaru berkenaan, yang diperkenalkan tahun lalu untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG A 35 V177.

Mengapa walaupun hanya untuk model peringkat kemasukan seperti A-Class ini, ada pilihan untuk sedan dan hatchback sekaligus? Adakah perbezaan selain daripada reka bentuknya; kerana kedua-dua jenis badan berkenaan ditawarkan dalam varian A200 dan A250 yang sama? Kalau perlu memilih, mana satu yang patut dibeli?

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini bukanlah mengada-ngada. Oleh kerana banyak penawaran yang diberikan, tentu saja ia untuk memenuhi keperluan atau sasaran pasaran yang berbeza-beza. Rasanya saya mungkin boleh memberi sedikit input tentang ini, kerana, hujung Disember tahun lalu, kami sempat untuk ikut serta dalam satu sesi pandu uji santai melibatkan A-Class, dari KL ke Melaka.

Tiga model sempat dipandu ketika itu; Mercedes-Benz A250 hatchback, A200 sedan dan juga AMG A 35. Bagaimanapun, ia lebih kepada pemanduan ringkas – kurang lebih untuk perjalanan dalam tempoh sejam diluangkan untuk berada di dalam setiap model berkenaan – sekadar untuk membina pandangan atau tanggapan awal terhadap ketiga-tiga model ini dan bukannya pandu uji penuh. Jadi, apa gambaran yang terbaik boleh diberikan terhadap setiap satu model terbabit?

Bagi saya secara peribadi, ketika orang menyebut Mercedes-Benz A-Class, imej yang paling awal muncul dalam kepala ialah versi hatchback, dalam varian A250 AMG Line tentunya. Pada harga RM263,888, varian ini telah menjadi ikon atau cap mohor bagi model A-Class. Penampilannya saja sudah cukup kena untuk membawakan semangat muda belia dan sporty.

Enjin 2.0 liter yang sama seperti sebelum ini telah dipertingkat untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 6.2 saat, sementara penggunaan bahan api 6.2 l/100 km. Ia dipadankan dengan transmisi DCT binaan Mercedes sendiri.

Itu belum lagi duduk di dalam kabinnya. Banyak kemaskini yang telah diperkenalkan pada model terbarunya yang diperkenalkan pada penghujung 2018. Antaranya paparan besar bersaiz 10.25-inci terapung dengan rekaan corong pendingin hawa berbentuk turbin. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) diberikan secara standard, dengan skrin sesentuh di tengah dan sistem kawalan suara Linguatronic “Hey Mercedes”. Terbaru, ia juga didatangkan dengan ciri Mercedes me connect untuk pasaran tempatan.

Jika perlu memilih, model A-Class yang ini sudah memadai untuk memenuhi penggunaan harian. Ia seimbang dari sudut prestasi dan juga keselesaan, serta agak mudah dikendalikan dengan saiz yang begitu. Cuma, dari segi praktikaliti mungkin sedikit kurang, kerana ketika ini versi sedannya juga sudah ada ditawarkan.

Beralih kepada Mercedes-Benz A200 sedan Progressive Line. Untuk mudah menjelaskan kepada orang, saya kerap berseloroh ketika menggambarkan model ini; ia seperti model Saga untuk Proton. Ini tentulah bukanlah untuk perbandingan secara literal. Maksud saya, inilah model paling asas yang ditawarkan dalam barisan model A-Class ini yang secara kebetulan di mata saya ada mirip yang di saling-pinjam dengan Saga (atau pun sebaliknya) – terutama dari profil bahagian belakang.

Model ini dijual pada harga RM229,888. Berbanding A250 AMG Line yang dicuba sebelum itu, model sedan ini terasa seperti hilang jiwa sama sekali. Entah kenapa, saya bahkan merasa ciri premium yang sepatutnya ada pada mana-mana model Mercedes-Benz seperti telah hilang pada varian yang satu ini. Dari sudut pemuas pandangan dan juga rasa pada semua tempat sentuhan, ia berada agak jauh dari A250.

Mungkin ini sebabnya; A200 sedan ini menggunakan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Ia hadir dengan enjin yang lebih kecil, serta janaan kuasa yang juga lebih rendah, yang sekaligus memberi kesan ketara terhadap aspek pemanduan kereta sedan ini.

Kuasa pula dihantar ke roda hadapan melalui kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan dari Getrag. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksimum 230 km/j. Penggunaan bahan api kitaran gabungan pula memberikan bacaan 5.4 liter bagi 100 km.

Ruang dalamannya walaupun dirasakan ada yang kurang, ia sebenarnya tidaklah terlalu kosong. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama. Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal antaranya fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi. Boleh tahan?

Cuma, kelebihannya tentunya dari sudut praktikaliti, kerana ia kini mempunyai lebihan ruang kargo yang dapat memuatkan kapasiti 420 liter. Ini menjadikannya pilihan yang lebih masuk akal sekiranya anda ingin menggunakan kereta ini sebagai kenderaan utama keluarga. Kurang dari sudut aspirasi pemanduan, tetapi sangat berkebolehan untuk memainkan peranannya dari sisi lain. Dan, lebih penting, anda masih lagi memandu sebuah Mercedes-Benz, kalau itu ada membawa erti kepada anda.

Tibalah kita ke model ketiga dan yang terakhir yang sempat dicuba, apa lagi kalau bukan Mercedes-AMG A 35 4Matics Sedan yang paling baru dilancarkan antara ketiga-tiga model ini, iaitu September 2019. Dan, sudah tentulah lambang AMG menjadi taruhannya yang paling mujarab. Betul, dari segi pemanduan, kereta yang dijual pada RM348,888 ini memang sangat mengujakan. Tambahan pula, ia sebuah kereta sedan dengan semangat dan kendalian sport, siapa yang tak suka?

Tetapi, sama seperti model-model AMG yang lain, ia masih lagi berada di sisi yang sedikit keras bagi aspek keselesaan dan pemanduan yang ditawarkan. Anda mungkin hargai karakter ini ketika dalam mood memandu yang agresif, tetapi dilain waktu, anda mungkin akan lekas berasa penat walaupun setakat berada di dalamnya – dan mungkin tak ingin dipandu sebagai kenderaan harian.

Ini mungkin faktor penyebabnya; ia menggunakan suspensi jenis MacPherson strut di depan dengan geometri gandar yang unik serta lengan kawalan aluminium ringan. Di belakang pula menggunakan talaan multi-link empat bahagian yang menggunakan komponen dari A 45 sebelum ini. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak model AMG yang ada, AMG A 35 dan AMG A 45 lah yang rasanya mudah sedikit untuk dijinakkan kuasa dan pemanduannya, misalnya jika ingin dibandingkan model lain yang lebih “besar” seperti C 63 atau E 63.

A 35 Sedan masih mengekalkan unit enjin M260 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, tetapi angka janaannya lebih tinggi; 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan dengan nisbah gearnya ditala untuk memberikan pecutan lebih pantas pada semua kedudukan gear.

Semua kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 Sedan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Seronok tengok angka-angka ini?

Di dalam, ia kekal menampilkan suasana yang premium dan mahal. Ruang dalaman masih sama seperti yang pernah dilihat pada A-Class A250, termasuk panel paparan skrin rata serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan kawalan suara “Hey Mercedes”. Ruang but juga tersedia kapasiti 420 liter.

Inilah serba ringkas tentang tanggapan terhadap tiga model atau varian yang berbeza bagi Mercedes-Benz A-Class yang ada ditawarkan di Malaysia ketika ini. Walaupun nampak hampir sama, tetapi nilai dan pengalaman penggunaan yang diberikan oleh model-model ini sangat berbeza. Yang mana satu agaknya lebih sesuai dengan cara penggunaan anda?

Mercedes-Benz A 200 Sedan Progressive Line

Mercedes-Benz A 250 Sedan AMG Line