Seperti yang diumumkan minggu lalu, semalam berlangsung majlis pendedahan pasukan Evangelion Racing untuk perlumbaan drift professional D1 Grand Prix (D1GP) Jepun musim 2020 yang akan diwakili oleh Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley. Disebabkan pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda, Tengku Djan tidak dapat menghadiri majlis yang diadakan di Jepun tersebut, dan hanya menyertainya secara atas talian.

Juga seperti apa yang telah diberitahu sebelum ini, Tengku Djan akan memandu Toyota GR Supra Evangelion Racing yang dibina oleh Do-Luck. Dalam majlis ini, jentera berkenaan telahpun didedahkan – ia tidak dijana oleh enjin 2JZ seperti GR Supra Daigo Saito dan Nobuteru Taniguchi, tetapi lebih mirip dengan jentera Kawabata Masato dari pasukan Toyo Tyres yang dijana oleh enjin 3UZ-FE yang dinaikkan kapasiti kepada 4.4 liter V8 dan disuap oleh pengecas turbo, menghasilkan sekitar 1,000 hp.

Jentera tersebut mengenakan kit badan lebar dari HKS seperti yang ditayangkan pada Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, dan diberikan livery perlumbaan ungu-hijau anime Evangelion. Ia turut dipadankan dengan rim dari Rays Engineering, dibaluti tayar Toyo Proxes R888R Drift.

GR Supra yang akan dipandu oleh Tengku Djan ini juga menampilkan cermin sisi dan cermin pandang belakang yang digantikan dengan kamera, dan ia akan dipaparkan menerusi tiga skrin yang diletakkan di belakang roda stereng, sama seperti jentera Kawabata Masato.

Namun Tengku Djan turut menyatakan bahawa dia tidak dapat berlumba dalam musim penuh D1GP Jepun tahun ini disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir. Walau bagaimanapun dia menegaskan akan bertanding secara kompetitif dalam pusingan-pusingan terpilih, dan sudah mula berlatih menggunakan simulator pada litar-litar berkenaan.

Tengku Djan sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara D1GP Malaysia pada tahun 2006. Kemenangan tersebut membolehkan dia layak untuk ke D1GP All Star pada tahun yang sama di litar Irwindale Speedway, Amerika Syarikat untuk bertarung dengan juara-juara D1GP yang lain dari seluruh dunia.

Dalam perlumbaan berkenaan, Tengku Djan yang memandu Toyota Sprinter Trueno AE86 pasukan Bridgestone Malaysia bukan sahaja diberi penghormatan bagi membuat ‘introduction run’ dalam bahasa Melayu, dia juga telah membuat kejutan dengan menewaskan Vaughn Gittin Jr. yang memandu Ford Mustang dalam sesi Tsuiso Best 16 dan berjaya menduduki tangga ke lima secara keseluruhan.

Sebelum disahkan mendapat tempat untuk berlumba dalam D1GP Jepun tahun ini, Tengku Djan sebelum ini telah berlumba dalam siri perlumbaan D1GP China pada tahun 2018 dan juga FIA Intercontinentel Drift di Tokyo dalam tahun yang sama.