Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

Setelah didedahkan buat pertama kali pada November 2018, dan dipertontonkan di Malaysia setahun selepas itu, kini Range Rover Evoque generasi kedua secara rasmi telah masuk ke pasaran tempatan. Ia masih mengekalkan imej Evoque sebelum ini – satu-satunya model Range Rover dengan rupa yang ‘cocok’ walaupun dimiliki oleh seorang gadis – dan menampilkan pelbagai teknologi off-road terkini.

Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, bermula model P200 yang dijual pada harga RM426,828, dan varian tertinggi P250 R-Dynamic dijual pada harga RM475,398. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk potongan cukai jualan 50% untuk model CBU yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Seperti biasa, setiap pembelian model-model Range Rover di Malaysia disertakan sekali dengan perlindungan waranti lima tahun atau 150,000 km, pakej servis percuma lima tahun atau 65,000 km dan juga bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Istimewa untuk masa terhad, pembeli Evoque akan menerima baucer bernilai RM3,000 bagi membeli aksesori untuk kereta mereka, yang kesemuanya turut dilindungi waranti selama lima tahun.

Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

Seperti yang anda boleh lihat, garis badan pada Evoque baharu ini adalah kesinambungan dari model sebelumnya – garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Manakala pada bahagian belakang, Evoque diberikan perician seperti abangnya, Velar, bersama pembuka pintu yang boleh disorok.

Untuk pasaran Malaysia, lampu hadapan LED Premium dengan lampu tinggi automatik bersama lampu isyarat membelok sequential, serta rim aloi lima jejari 20-inci hadir sebagai ciri standard. Varian R-Dynamic pula menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, kemasan seakan liang udara pada penutup bonet, kemasan-kemasan seakan tembaga, lampu kabus hadapan serta rim dengan rekaan turbin.

Walaupun dimensi Evoque baharu ini hanya sedikit lebar dan sedikit tinggi berbanding model generasi sebelum ini, ia dihasilkan dengan jarak roda 21 mm lebih panjang. Ini membolehkan ruang kaki untuk penumpang belakang lebih luas, bersama ruang but yang 10% lebih besar kepada 591 liter.

Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

Inspirasi dari Velar turut diberikan pada kabin. Ia dihasilkan dengan rekaan ringkas tanpa unsur-unsur ‘serabut’, yang di sifatkan Land Rover sebagai ruang dalaman yang mewah, minimalis dan digital. Antara ciri yang diberikan termasuk sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo dengan saiz 10-inci – satu untuk infotainmen, dan satu lagi untuk larasan pendingin hawa serta larasan kenderaan. Kawalan turut dibantu dengan dua butang fizikal.

Kelengkapan standard lain untuk bahagian dalaman Evoque 2020 pasaran Malaysia ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang auto-dimming, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, upholsteri kulit, kemasan aluminium, tempat duduk hadapan larasan berkuasa 14-hala dengan memori, kolum stereng larasan berkuasa, sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem bunyi Meridian 380-watt dengan 11-pembesar suara, kamera undur dan juga pintu tailgate bukaan tanpa sentuhan tangan.

Manakala untuk varian R-Dynamic pula ia ditambah dengan kelengkapan seperti upholsteri balutan kulit dua-tona, kemasan aluminium gelap, pelapik bumbung hitam, kemasan bendul sisi krom, set pedal aluminium, lampu suasana serta sistem kamera 360-darjah. Model varian teringgi ini juga menerima teknologi baharu yang mula ditampilkan pada Evoque generasi baharu iaitu cermin pandang belakang digital Clearsight dan juga ClearSight Ground View.

Dengan cermin pandang belakang Clearsight, pemandu masih boleh melihat bahagian belakang dengan jelas walaupun bahagian kabin belakang dipenuhi barang-barang bersaiz besar, menerusi paparan skrin HD. Menurut Land Rover, skrin tersebut memberikan imej lebih lebar (50 darjah) dengan tahap penglihatan yang sangat baik walaupun dalam cahaya rendah.

Manakala dengan ClearSight Ground View pula, ia seolah-olah akan menjadikan bonet hadapan halimunan, membolehkan pemandu melihat bahagian bawah hadapan Evoque berkenaan dengan paparan 180 darjah. Sistem ini akan membantu pemandu pada ruang parkir yang sempit dan melalui jalan dengan halangan tinggi atau permukaan yang lasak.

Untuk sistem keselamatan pula, Evoque tampil dengan ciri standard seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau tumpuan pemandu, bantuan parkir dan juga amaran bukaan pintu. Model R-Dynamic menerima fungsi tambahan seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik kelajuan tinggi dan juga pemantau titik buta.

Range Rover Evoque ini dibangunkan dengan platform baharu Premium Transverse Architecture (PTA), dengan struktur kerangka menggunakan gabungan keluli berketegaran tinggi dan juga aluminium membolehkan ia 13% lebih keras seterusnya menghasilkan getaran dan bunyi yang lebih rendah. Casis ini menampilkan suspensi Topang Mcpherson di hadapan dan juga gandar intergral link di belakang, bersama penyerap hentak pasif untuk semua model.

Kedua-dua model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin Ingenium 2.0 liter turbo empat silinder, namun ditala dengan kuasa yang berbeza. Varian P200 menghasilkan 200 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Manakala versi P250 pula mengekstrak 249 PS dan tork maksima 365 Nm pada takat rpm yang sama.

Walau bagaimanapun, kedua-dua varian tersebut digandingkan dengan hanya satu pilihan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dari ZF, bersama sistem pacuan semua roda Efficient Driveline – dibekalkan dengan fungsi Driveline Disconnect membolehkan ia berubah kepada hanya pacuan roda hadapan untuk menjimatkan bahan api, bergantung pada keadaan.

Evoque juga dibekalkan dengan sistem Terrain Response 2 terkini, menampilkan mod Auto yang akan melaras talaan enjin serta transmisi bagi disesuaikan dengan keadaan permukaan jalan. Model generasi baharu ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 212 mm dan boleh meredah air dengan kedalaman maksima 600 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required