Lexus Malaysia telah memberikan sedikit peningkatan kepada model NX dan ES tahun 2020. Sistem infotainmen dua model ini sekarang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay, dan menyertai model Lexus lain yang sudah mempunyai ciri ini seperti UX, RX dan LC.

Fungsi baru ini adalah sebahagian daripada sistem infotainmen yang juga datang dengan panel paparan lapan inci atau 12.3 inci yang dipasang pada model CBU sementara harganya masih tidak berubah – mengikut harga yang telah dilaras berdasarkan pengecualian cukai diberi kerajaan sehingga 31 Disember 2020.

Bagi model NX, varian asas NX 300 Urban dijual pada harga RM303,117, diikuti NX 300 Luxury pada RM321,851 dan NX 300 F Sport pada RM336,019. Pergi kepada model ES pula, varian ES 250 Premium dijual pada harga RM288,663 manakala ES 250 Luxury RM320,510.

Cara penggunaannya, pemilik perlu menghubungkan telefon pintar mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengawal fungsi Android Auto dan Apple CarPlay menggunakan Remote Touch Controller. Ini adalah sama seperti yang terdapat pada UX dan LC sementara RX pula mendapat kelebihan kawalan pada skrin sesentuh.