Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

Selepas pendedahan model prototaip Mugen Civic Type R di Tokyo Auto Salon 2019 serta pengenalan Honda Civic Type R facelift 2020, Mugen kini secara rasmi memperkenalkan versi produksi untuk Civic Type R 2020 di Jepun. Pakar penala Honda berkenaan menawarkan kit yang ekstensif, merangkumi penambahbaikkan dari segi aerodinamik, penggayaan dalaman dan juga prestasi.

Kita mulakan dengan kit aero – berasaskan Civic Type R facelift 2020, FK8 berkenaan sememangnya telah diberikan gril dengan aliran udara ke sistem penyejukan enjin lebih baik dan juga bampar hadapan yang disegarkan. Kit Mugen ini datang dengan kemasan gentian karbon pada gril, spoiler bawah dan kemasan pada perumah lampu kabus hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang yang jauh lebih agresif, seiras dengan versi prototaip yang ditunjukkan pada 2019.

Ia juga hadir komponen-komponen gentian karbon yang sama seperti model konsep Civic Type R Mugen RC20GT yang muncul pada Tokyo Auto Salon 2018, terdiri dari spoiler belakang dengan sayap yang boleh dilaras dengan empat sudut berbeza dan juga penutup cermin sisi. Bonet hadapan gentian karbon pada kit produksi ini juga nampak sama seperti pada RC20 GT, tetapi ia turut menampilkan skup udara tengah yang sama seperti bonet FK8 standard.

Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

Menurut Mugen, liang-liang udara yang diterapkan pada bonet berkenaan membantu mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin dengan efektif, dan dengan material karbon kering yang digunakan juga menyisihkan sinaran UV serta tidak bermasalah sekiranya pemilik mahu membalut bonet tersebut dengan pelekat. Kit ini juga hadir dengan visor untuk kesemua pintu, dan menurut Mugen lagi keseluruhan kelengkapan aerodinamik ini telah dibangunkan dan diuji di litar.

Penampilan luaran Civic Type R Mugen ini dilengkapkan dengan pemadanan rim Mugen MDCF 20-inci dengan lebar 8.5 J untuk kesemua roda, namun menampilkan offset yang berbeza; +45 di hadapan dan +53 di belakang. Pembeli juga boleh memilih untuk mengikat rim ini pada hab roda dengan set bolt asli dari Mugen yang berharga 15,400 yen atau sekitar RM616!

Pada bahagian kabin pula, Mugen menawarkan perubahan pada berberapa komponen asli termasuk roda stereng gentian karbon, sepasang tempat duduk hadapan bucket penuh Recaro Mugen MS-R, butang penghidup enjin, pelindung bawah panel pintu gentian karbon, set karpet kaki dengan pilihan warna merah atau hitam, karpet untuk ruang kargo belakang dan juga kemasan bendul pintu juga dengan pilihan warna merah atau hitam.

Honda Civic Type R FK8 sememangnyan telah hadir dengan quick shifter pada tuil penukar gear secara standard, tetapi ini tidak menghalang Mugen untuk menghasilkan quick shifter mereka sendiri. Menurut Mugen, berbanding komponen standard, shifter rekaan mereka ini akan memberikan sudut tukaran gear yang lebih hampir dengan pemandu, serta diberikan spring serta cagak getah yang lebih baik bagi memberikan rasa tukaran gear yang lebih mengasyikkan.

Mugen juga memberikan tiga pilihan tombol gear untuk pelanggan iaitu versi yang dibalut dengan kulit (pilihan merah atau hitam), versi dari material gentian karbon (pilihan jalur merah atau hitam) dan juga versi dari material aluminium (pilihan warna merah, hitam atau perak).

Tiada perubahan yang dibuat oleh Mugen terhadap sistem brek Brembo asal pada Type R FK8 ini, namun mereka menawarkan pad brek Type C untuk angkup hadapan dan belakang. Mugen menyatakan bahawa pad brek tersebut dihasilkan untuk kegunaan litar bagi menyelesaikan masalah brake fade ketika digunakan dalam keadaan ekstrem.

Untuk enjin pula, Mugen telah menghasilkan set ekzos lengkap diperbuat dari titanium yang lebih ringan dari sistem asal. Selain dari material, sistem ekzos dari Mugen ini juga menampilkan dua muffler hujung dengan tip yang direka seakan bahagian belakang enjin jet bagi menggantikan sistem tiga tip asal FK8 Type R.

Tiada perubahan dari segi kuasa dinyatakan dimana Honda Civic Type R FK8 dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa disampaikan ke hanya roda hadapan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan LSD helical.

Keseluruhan kit ini boleh dibeli secara berasingan mahupan sebagai satu kereta lengkap. Untuk pelanggan yang membeli sebuah model lengkap, Mugen Civic Type R FK8 2020 boleh dipilih dalam empat warna badan iaitu Championship White, Crystal Black Pearl, Rallye Red dan Brilliant Sporty Blue Metallic.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required