Sebelum ini kebanyakan pemain industri automotif tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi jualan yang dicatatkan bagi tahun ini selepas pandemik COVID-19 menular di Malaysia mendorong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Dalam tempoh bulan ketiga 2020, jualan kenderaan direkodkan mengalami penyusutan sebanyak 44%. Manakala untuk bulan April pula, jualan kenderaan jatuh hampir 100%.

Walau bagaimana pun, selepas PKP makin dilonggarkan, dan sektor perniagaan dibuka kembali, jualan kenderaan dilihat meningkat semula. Buktinya, pada Mei lalu, jualan kenderaan naik sebanyak 16,183%. Ini bermakna, kuasa pembeli sudah kembali.

Melihat akan prestasi tersebut, AmInvestment Bank menerusi nota penyelidikannya mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kekal memberangsangkan dengan sasaran 565,000 unit tahun ini. Perkara ini terdorong dengan inisiatif diumumkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Penganalisis AmInvestment Bank, Jeremie Yap, berkata TIV pada separuh kedua tahun ini bakal disokong prestasi lebih baik bagi semua pengeluar utama berikutan pelaksanaan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi unit pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi model import (CBU) berkuatkuasa 15 Jun hingga 31 Disember 2020, laporan Berita Harian.

“Memasuki separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan pemulihan kukuh dalam tempoh enam bulan berikutnya selepas jumlah kes baharu COVID-19 domestik semakin berkurangan dan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.

“Kerajaan juga melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana semua pusat pengedaran, bilik pameran dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah boleh mengambil tempahan dan pendaftaran kenderaan baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.

Tambahnya lagi, pengecualian cukai jualan menyaksikan harga kereta turun antara 1.1% hingga 6.5% bagi semua kenderaan, yang dilihat sebagai suntikan yang sangat diperlukan sektor automotif negara sebagaimana yang berlaku ketika tempoh ‘cuti cukai’ Jun hingga Ogos 2018.

Beliau berkata, pada 2018 cuti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyaksikan harga kereta susut antara tiga hingga lima peratus, sekali gus memacu permintaan ke atas kereta baharu dengan jumlah jualan sebanyak 198,500 unit bagi tempoh Jun hingga Ogos, menokok 42% perbezaan suku ke suku dan meningkat 32% tahun ke tahun.

“Proton dan Perodua meraih manfaat daripada rangsangan pengecualian cukai jualan berbanding pengeluar lain di mana harga kereta menjadi lebih berpatutan memandangkan semua barisan model keluarannya adalah CKD.

“Kami sangat yakin Proton dan Perodua akan terus menerajui sektor automotif pada separuh kedua tahun ini bersandarkan faktor harga lebih menarik berbanding pesaingnya.

“AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham DRB-Hicom dengan nilai saksama RM2.49 sesaham dan saham MBM Resources dengan nilai saksama RM4.62 memandangkan kedua-duanya adalah proksi kepada Proton dan Perodua,” katanya.