Nissan Z Proto akan didedahkan 15 Sept ini – prototaip Fairlady 400Z yang mungkin hampiri model produksi

Nissan mengumumkan bahawa mereka akan mendedahkan model Z Proto, iaitu unit prototaip untuk generasi seterusnya kereta sport Nissan Z pada 15 September ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu video teaser yang disiar menerusi laman-laman media sosial rasmi mereka.

Video tersebut memaparkan model-model Nissan Z dari model generasi pertama ‘Devil-Z’ S30Z Fairlady 240Z sehingga generasi terakhir Z34 Fairlady 370Z. Tiada sebarang perincian untuk model Z Proto berkenaan yang disebut, kecuali rekaan lampu LED hadapan yang sama seperti disiarkan pada teaser sebelum ini.

Tidak mustahil penampilan model Z Proto ini nanti akan mendedahkan rupa yang hampir kepada versi produksinya kelak. Menurut laporan dari Auto Express sebelum ini, model baharu berkenaan akan digelar sebagai 400Z, dan ia bakal diperkenalkan pada penghujung tahun 2022, sempena genap 15-tahun selepas generasi sedia ada Z34 berada dalam pasaran.

Menurut laporan tersebut lagi, 400Z berkenaan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Tidak seperti model generasi Z33 dan Z34 yang hadir dengan enjin NA, model generasi baharu ini akan dibekalkan dengan dua pengecas turbo seperti pada model Z32.

Secara spesifiknya, 400Z akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm yang masih diletakkan dalam konfigurasi FR (enjin hadapan pacuan belakang). Kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

Portal tersebut turut menyatakan bahawa unit janakuasa serta casis untuk model ini sudah pun ada, dan ia berkemungkinan turut akan menerima model talaan Nismo yang memberikan lebih prestasi. Nissan 400Z ini bakal masuk ke pasaran-pasaran utama termasuk Amerika Utara, China dan Eropah.

Sehingga sekarang, tiada sebarang unit prototaip sebenar muncul di mana Nissan dilihat hanya menguji model tersebut disebalik badan Fairlady 370Z generasi Z34 sedia ada. Tetapi menurut berberapa laporan media sebelum ini, Z generasi baharu berkenaan akan menerima ciri-ciri dari model klasik, di mana mukanya diilhamkan dari model generasi pertama S30Z 240Z, manakala lampu belakangnya pula akan menyerupai model 300ZX.

Dakwaan tersebut diperkuatkan dengan video teaser yang disiarkan – bayangan badan kereta sport tersebut nampak jelas dengan elemen 240Z, terutamanya pada bayang badan keseluruhan termasuk bentuk bumbung dan cermin-cermin tingkap, serta logo ‘Z’ pada tiang-C.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required