Proton mengumumkan mereka berjaya menjual sebanyak 11,378 unit kenderaan sepanjang bulan lalu, menjadikan ia rekod bulanan kedua terbaik untuk 2020 setakat ini. Walaupun jumlah berkenaan dilihat 14% lebih rendah dari bulan sebelumnya, bilangan kereta yang dijual pada Ogos 2020 ini sebenarnya 24% lebih tinggi berbanding Ogos 2019.

Menurut Proton, pegangan pasaran mereka untuk bulan ini dianggarkan berada pada 21.6%, manakala jika ia diambil kira dari awal tahun 2020 sehingga kini, jenama automotif nasional berkenaan memegang bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 21.7%.

Jumlah keseluruhan kenderaan yang telah dijual oleh Proton dari awal tahun sehingga Ogos pula berada pada jumlah 61,672 unit. Ini bermakna, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, jumlah jualan kumulatif ini adalah 46 unit lebih banyak.

Proton menyatakan bahawa walaupun hari bekerja sepanjang Ogos adalah kurang kerana banyak cuti umum, pelanggan terus menunjukkan pemintaan tinggi oleh kerana pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan dalam skim insentif PENJANA untuk merangsang semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pencapaian jualan mereka setakat ini juga disifatkan sebagai sangat bermakna bagi Proton setelah terjejas teruk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada bulan Mac, April dan Mei lalu.

Menurut jenama tersebut lagi, tiga model mereka berjaya mendahului jenama lain dalam segmen masing-masing untuk bulan Ogos 2020 iaitu Proton Persona sebagai sedan segmen-B paling laris dijual sebanyak 2,411 unit, Proton Exora juara untuk MPV segmen C dengan jualan 630 unit, dan juga sudah tentu SUV terlaris di Malaysia iaitu Proton X70 menduduki tempat pertama untuk SUV segmen C dengan jualan sebanyak 2,791 unit.

“Pemulihan jualan Proton setelah mengalami PKP amat mengagumkan kerana kami hanya menggunakan tiga bulan untuk kembali ke landasan yang betul. Dengan pencapaian jualan kini telah mengatasi prestasi tahun 2019, pihak PROTON yakin boleh menangani cabaran dari wabak Covid-19. Kesan yang positif terhadap syarikat, pekerja dan pembekal tidak boleh dipandang rendah dan kami berharap untuk meneruskannya sehingga akhir tahun untuk memberikan impak yang besar terhadap ekosistem industri automotif,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.