Model skuter Honda Forza ditawarkan dalam pelbagai versi bergantung kepada pasaran dan sebelum ini ia pernah menggunakan enjin 125, 200, 250, 300 dan paling baru adalah 350 cc, diperkenalkan di Thailand Julai lalu.
Kini nampaknya pengeluar dari Jepun itu bersedia untuk menambah pilihan enjin bagi Forza dan satu video teaser telah disiarkan oleh Honda Eropah dalam laman Youtube. Daripada ayat “The Forza family is getting bigger” dalam video itu, kita boleh menjangkakan penggunaan enjin yang lebih besar.
Ini mungkin bagi membolehkan Forza bersaing dengan skuter seperti Yamaha T-Max 560 atau menggantikan Integra 700 yang pada masa sekarang masih tidak diperbaharui dengan enjin yang menepati tahap emisi Euro 5. Dalam barisan produknya, Honda juga mempunyai skuter berbentuk adventure iaitu X-ADV 750.
Sudah tentu, sebagai sebuah video teaser, tiada sebarang perincian teknikal yang diberitahu, tetapi Honda ada menunjukkan beberapa bahagian seperti tepi enjin, kerangka serta fairing hadapannya, dari sisi. Selain daripada itu, terdapat juga satu tarikh yang mungkin menandakan waktu ia akan diperkenalkan secara rasmi, iaitu 14.10.2020.
Daripada gambar ini kita boleh melihat rekaan yang moden berserta beberapa komponen aluminium yang kemas serta bahagian hadapan besar dan mempunyai banyak lekuk tajam. Walaubagaimanapun kita masih tidak mengetahui sama ada skuter ini akan menggunakan pacuan rantai ataupun tali sawat.