Selepas berberapa perincian awalannya diumumkan sebelum ini, kini Autocar UK mendedahkan berberapa lagi informasi terhadap SUV dari jenama kereta sport British iaitu Lotus, yang akhirnya nampak cerah untuk diproduksi setelah duduk di bawah payung kumpulan automotif Geely.

SUV yang diberi kod nama ‘Lambda’ berkenaan yang sebelum ini dijangka akan dihasilkan dengan platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama dengan Volvo XC90 bersama unit janakuasa hibrid petrol-elektrik nampak telah berubah – ia dilaporkan akan menerima janaan elektrik sepenuhnya dan dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture dari Geely, asas sama seperti Lynk & Co Zero Concept yang di prebiu bulan lalu.

Lambda bakal dilengkapkan dengan dua buah motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 750 hp untuk varian tertinggi, manakala model lebih rendah pula dibekalkan dengan kuasa 600 hp. Dengan kuasa elektrik sepenuhnya, tidak mustahil ia turut menjana tork dengan angka gergasi.

Lotus turut mensasarkan SUV ini boleh bergerak sejauh 579 km dengan satu cas penuh bateri. Jadi dengan prestasi yang dibayangkan ini, Lotus Lambda bakal memberikan cabaran terus kepada Tesla Model X dan juga SUV berkuasa elektrik yang sedang dibangunkan pengeluar lain.

Kerja-kerja pembangunan SUV ini terutamanya pada casis dan unit penjana akan dilakukakan di Ibu Pejabat Lotus di Hethel, UK dengan pengetahuan dari yang ditimba ketika menghasilkan hypercar Lotus Evija. Walaupun ia sebuah SUV, Lambda turut akan dihasilkan sebagai Lotus sebenar dengan aspek falsafah Sir Colin Chapman iaitu “simplify, then add lightness,” menerusi penggunaan material istimewa yang ringan.

Model SUV pertama dari Lotus ini dilaporkan akan didedahkan dalam bentuk produksi sebenar pada 2022, sebelum mula dijual secara rasmi pada 2023. Ia dijangka akan dijual dengan harga yang kompetitif untuk berhadapan pesaing dengan jumlah pengeluaran yang tinggi, dan dijangka akan dikilangkan di China, di mana permintaan untuk model EV premium masih kekal tinggi pada pasaran tersebut

Lotus juga boleh menggunakan skala ekonomi lebih besar yang ada pada Geely serta memanfaatkan fasiliti baharu Geely yang sedang dibangunkan di Wuhan bagi merendahkan lagi kos produksi SUV ini. Satu lagi kilang alternatif yang boleh digunakan adalah fasiliti baharu mereka di Norfolk, walaupun sebelum ini ia sudah diumumkan bahawa kereta sport baharu mereka termasuk “Esprit baharu” akan dihasilkan di situ.