Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

Minggu lalu, Honda Malaysia mengumumkan model City baharu telah mencecah tempahan hampir 9,000 unit. Kalau dilihat pada angka tersebut, ia menunjukkan jumlah yang agak besar untuk kereta yang baru dilancarkan pada 13 Oktober lalu.

Honda City merupakan antara model paling digemari dalam kelas sedan segmen-B. Pelancaran model generasi kelima dilihat mampu meneruskan kegemilangannya yang kekal menerajui segmen terbabit dalam empat generasi. Malah berjaya ‘merampas’ kedudukan pencabar terdekatnya, Toyota Vios, yang sebelum ini merajai segmen yang sama.

Jadi, apa kata kita teliti angka jualan di pasaran Malaysia bagi City dan Vios menerusi setiap generasinya. Dalam sejarah Toyota yang bermula dengan pengenalan generasi pertama Vios pada tahun 2003, menerusi “Vios Britney Spears”.

Dengan harga bermula RM70k, Vios generasi pertama ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan di sini. Sedan kompak ini ditampilkan dengan gaya dan ciri kelengkapan yang pada ketika itu dianggap menarik, dengan padanan enjin VVT-i dan kluster meter tengah. UMW Toyota Motor telah menjual sebanyak 66,583 unit Vios dari tahun 2003 hingga 2007.

Walau bagaimana pun, kedudukan Vios seakan tercabar selepas Honda City generasi kedua dilancarkan di sini pada Mei 2003 dan dijual di bawah harga RM80k. Walau pun City yang pertama dilancarkan oleh Honda Malaysia pada 2002, namun ternyata City generasi kedua yang mencipta revolusi baharu di pasaran sini. Diasaskan dari Jazz generasi pertama, GD City diketengahkan bukan dengan bentuk biasanya seperti sedan, tetapi kelihatan lebih besar dan mempunyai tempat duduk Ultra yang lebih versatil.

Malahan City generasi kedua juga mengalami peningkatan mekanikal, dengan memperkenalkan enjin i-DSI (Intelligent Dual and Sequential Ignition) dan automatik CVT dengan butang steering shift. Malah ia juga merupakan kereta keluarga yang lebih baik dengan pelbagai inovasi yang dilakukan berbanding Vios yang lebih konvensional. Honda berjaya menjual lebih 61,500 unit City di antara tahun 2003 hingga 2008.

City seterusnya ialah GM2 generasi ketiga, yang mengalami lebih banyak peningkatan berbanding GD. Itu sudah pasti. Ia juga diolah sedikit bentuknya dengan suntikan sedikit elemen yang lebih berketerampilan, termasuk garisan yang lebih tajam dan juga perkadaran yang lebih seimbang – sedikit lebar dan panjang, tetapi kurang tinggi. Tiada lagi i-DSI, tiada lagi CVT dan tiada lagi ruang dalaman dengan warna beige – ia didatangkan dengan i-VTEC, automatik lima-kelajuan dan kabin berwarna hitam. Ia juga diberikan ledakan kuasa 120 PS. Lebih 84,300 rakyat Malaysia telah membelinya sejak tahun 2008 hingga 2014.

Bagi Toyota pula, ia adalah era bagi Vios generasi kedua, yang popular dengan gelaran “Vios dugong” apabila bentuk sedan ini disamakan dengan bentuk haiwan comel terbabit. Sedan ini menerima penambahan ruang kabin dan but serta papan pemuka yang diperkemaskinikan. Penjana kuasanya juga diberikan sedikit peningkatan. Vios XP90 merupakan kejayaan besar buat UMWT, dengan terjual sebanyak 178,518 unit dari tahun 2007 hingga 2013.

Kalau anda membuat pengiraan, kirannya melebihi 145,800 unit bagi City dari tahun 2003 hingga 2014 (tidak termasuk era Kah Motor yang menjual City generasi pertama), dan 245,101 unit bagi Vios dari 2003 hingga 2013.

Toyota kemudiannya kembali meledak dengan kehadiran Vios generasi ketiga, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2013, dengan gelaran “Vios Keli” kerana bentuk muncungnya yang seakan mulut ikan tersebut. Ia masih mengekalkan kombinasi penjana kuasa 1NZ-FE dan 4AT, dengan jarak roda 2,550 mm. Badannya kini lebih panjang, tinggi dan lebih aerodinamik berbanding lebih bulat seperti model sebelumnya.

Tahun 2016, Vios diberikan enjin baharu, maka bersaralah unit 1NZ-FE, plat nama yang digunakan oleh Vios sejak dilahirkan pada tahun 2003. Berkongsi dengan Perodua, enjin siri NR dengan Dual VVT-i dipadankan dengan CVT, yang pertama kali diperkenalkan pada Vios.

Kemudian, pada tahun 2019, Vios mengalami anjakan yang besar. Imejnya diberikan suntikan yang lebih segar, lebih sedap mata memandang, lebih versatil dan paling penting, lebih memenuhi perkembangan sesama. Rekaan bahagian hujung hadapannya, lampu belakang dan papan pemuka yang dirombak telah membuatkan sedan ini tampil senada dengan adiknya, model hatchback Yaris. Tiada perubahan di bawah bonetnya dan masih mengekalkan penjana kuasa yang dipertingkatkan pada 2016. Hasil kombinasi tersebut, Vios generasi ketiga ini telah pun dimiliki oleh 204,490 pemiliknya di Malaysia.

Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

Bagi Honda pula, dengan City generasi ke-empat, yang dilancarkan beberapa bulan selepas Vios iaitu pada Mac 2014, City GM6 mempunyai ruang kaki yang lebih luas hasil peningkatan jarak roda berdimensi 2,600 mm, malah melebihi Civic dan Toyota Camry sendiri, seperti yang didakwa oleh pengeluar kereta ini. Ia turut menampilkan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan ruang but berkapasiti 536 liter yang mendahului kelasnya membuatkan City menjadi kereta keluarga yang terbaik. Enjin SOHC i-VTEC turut ditambahbaik sedikit, dan Honda turut menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan dengan CVT.

Paras rupa Solid Wing Face yang dipertaruhkan untuk model generasi ini membuatkan ia menjadi tarikan utama. Dalam tempoh enam tahun, Honda berjaya menjual sebanyak 209,000 unit bagi City generasi ini. Angka yang tidak begitu jauh dengan Vios yang terjual sebanyak 205k termasuk dengan Vios 2019 (City turut diberikan sedikit perubahan bagi pertengahan kitaran hayatnya pada tahun 2017). Walau pun begitu, pada tahun 2019 (tahun terakhir untuk City model semasa), City kekal selesa di hadapan Vios yang ditampilkan dengan wajah segar.

Namun begitu, pertarungan antara City dan Vios tidak berakhir begitu sahaja, malah makin hangat diperkatakan. Kedua-duanya saling bersaing untuk mendapat tempat yang lebih baik dalam pasaran tempatan. Pada bulan lalu, Honda telah melancarkan City generasi kelima dan Toyota pula telah mula membuka tempahan untuk Vios facelift yang diberikan suntikan lebih segar. Maka, jualannya akan ditambah dalam rekod generasi ketiga yang sebelum ini tercatat sebanyak 204,490 unit dan kita akan ketahuinya kemudian. Sementara itu, Honda pula akan mencatatkan jualan bagi rekod yang baharu untuk generasi kelima ini yang kini telah mencecah sebanyak 2,400 unit.

Pasaran sedan segmen-B memang tidak pernah tidak menarik. Honda bakal memperkenalkan City RS i-MMD hibrid pada Januari 2021 bagi menyertai barisan varian petrol sedia ada, dan Toyota pula dengan Vios facelift 1.5L NA. Sementara itu, jangan pula terlupa dengan kehadiran Nissan Almera yang baharu diperkenalkan dengan enjin 10L turbo, yang hadir dengan penampilan yang lebih menarik, tidak seperti model sebelumnya dengan paras rupa yang sedikit ‘membosankan’.

Walau pun Nissan telah melakukan percaturan yang boleh dianggap terbesar dengan olahan gaya dan mekanikal bagi Almera serba baharu, namun rasanya, dari segi angka jualan, kedudukan Honda dan Toyota sukar digugat. Apatah lagi City dan Vios merupakan penyumbang terbesar bagi keseluruhan jualan kedua-dua jenama tersebut di negara ini. Apa pun, mari kita nantikan, adakah City masih mampu kekal menerajui sedan segmen-B ini atau berjayakah Vios memintas dan merampas kembali kedudukan itu?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required