Honda telah memberikan satu kejutan dengan memberitahu mereka akan memperkenalkan HR-V generasi kedua pada 18 Februari ini, untuk menggantikan model sekarang yang sudah berusia lapan tahun. Bersama dengan pengumuman itu, beberapa gambar teaser yang menunjukkan ciri barunya turut disiar.

Untuk bahagian luar, kita cuma dapat melihat sedikit bahagian belakang, di mana garis badan beralun sebelum ini telah diganti dengan garis yang lebih tajam. Penutup tempat mengisi minyak pula kini berbentuk petak sementara pembuka pintu belakang masih lagi menggunakan rekaan tersembunyi yang sama.

Pandangan tepi lampu belakang juga boleh dilihat, di mana ia seperti lebih nipis dan logo di tengah seperti menonjol ke luar. Model di dalam gambar ini juga menggunakan bumbung panoramik yang besar, tetapi tiada bahagian hadapan yang boleh dibuka.

Tidak banyak yang ditunjuk untuk bahagian dalam tetapi kami dapat mengenal pasti papan pemuka yang lebih bersih serta skrin infotainmen jenis sesentuh di tengah. Dalam gambar itu juga menunjukkan paparan skrin Apple CarPlay sambil tangan model memegang telefon bimbit, sekaligus mencadangkan kewujudan ciri sambungan tanpa wayar untuk iPhone.

Bahagian lain yang boleh dilihat dalam gambar teaser ini adalah pengawal pendingin hawa serta tombol gear seperti Jazz dan City, serta tweeter pada bahagian pintu yang mungkin menunjukkan tambahan jumlah pembesar suara.

Tiada perincian teknikal yang dikeluarkan tetapi Honda telah mengesahkan HR-V akan datang dengan pilihan sistem hibrid e:HEV seperti Jazz dan City. Pada dua kereta itu, penggerak yang digunakan adalah motor elektrik 108 PS/253 Nm, serta enjin empat silinder 1.5 liter i-VTEC 98 PS/127 Nm.