Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

Dalam menghasilkan pelbagai sistem keselamatan dan kenderaan pemanduan sendiri yang lebih baik pada masa hadapan, para jurutera kini sedang menjalankan pelbagai usaha penyelidikan bagi membangunkan perisian yang boleh memandu kereta berkenaan sebaik pemandu sebenar.

Bagi Toyota, mereka kini menghasilkan kereta pemanduan sendiri yang bukan hanya boleh bergerak, malah boleh melakukan aksi drift bagi membolehkan mereka belajar tindak balas refleks dan juga kemahiran untuk perisian mereka, bukan sahaja untuk menghasilkan kereta tanpa pemandu yang boleh ‘menyelamatkan diri’ sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia boleh digunakan untuk sistem keselamatan aktif seperti sistem kestabilan kenderaan elektronik (ESC/VSA).

Projek ini dijalankan oleh Toyota Research Institute (TRI) di Amerika Syarikat, dengan kerjasama Makmal Rekaan Dinamik Universiti Stamford iaitu pihak yang bertanggungjawab menghasilkan Delorean DMC12 pemanduan sendiri berkuasa elektrik yang juga boleh melakukan aksi drift diberi nama MARTY, dan anda boleh membaca perinciannya menerusi PAUTAN INI.

Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

Untuk projek Toyota ini, mereka menggunakan model sport pacuan belakang terbaharunya iaitu GR Supra yang diubahsuai sebagai kereta drift oleh Toyota Racing Development (TRD) Amerika Syarikat, lengkap dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny!

Menurut TRI, pasukan jurutera mereka kini sedang menjalankan penyelidikan bagaimana untuk menyatukan naluri pemandu profesional dan teknologi pemanduan berautonomi. Mereka mensasarkan untuk menghasilkan teknologi keselamatan aktif pada tahap baharu agar ia boleh digunakan di atas jalan raya awam oleh Toyota dan berkongsi dengan pengeluar lain.

“Setiap hari, banyak kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh situasi ekstrem di mana kebanyakkan pemandu perlu mempunyai kemahiran luar biasa untuk mengelakkan pelanggaran,” kata Gill Pratt, CEO TRI dan Ketua Saintis di Toyota Motor Corporation (TMC).

Toyota hasilkan GR Supra tanpa pemandu yang boleh drift untuk penyelidikan teknologi keselamatan aktif

“Realitinya adalah setiap pemandu mempunyai kelemahan, dan bagi mengelakkan kemalangan, pemandu selalunya perlu melakukan pergerakan yang melampaui kebolehan mereka. Menerusi projek ini, TRI akan belajar dari berberapa antara pemandu profesional di dunia bagi membangunkan algoritma kawalan yang sofistikated yang memperkasakan kemampuan memandu manusia dan memastikan keselamatan manusia. Ini adalah intipati dalam pendekatan Toyota Guardian,” jelasnya lagi.

Menurut Toyota, sebanyak sekitar 1.25 juta kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh dunia, dan 40,000 daripadanya adalah di Amerika Syarikat, di mana jenama dari Jepun berkenaan menyatakan bahawa mereka mahu mengurangkan angka tersebut sehingga sifar.

Sementara kebanyakkan kemalangan berlaku dalam situasi biasa, dalam situasi lain pemandu mungkin perlu membuat pergerakan yang memerlukan kenderaan mereka hampir dan kadangkala melangkawi had pengendalian. Misalnya ketika memandu di atas permukaan basah atau licin, pemandu profesional mungkin memilih untuk drift bagi memastikan mereka boleh melepasi satu-satu selekoh berkenaan.

“Sejak tahun 2008, makmal kami telah mengambil inspirasi dari pelumba manusia dalam menghasilkan algoritma bagi membolehkan kenderaan berautonomi beroperasi ketika situasi kecemasan yang paling mencabar,” kata Professor Chris Gerdes dari Makmal Rekaan Dinamik Universiti Stamford.

“Menerusi penyelidikan ini, kami mempunyai peluang untuk menyalurkan idea berkenaan untuk lebih menyelamatkan nyawa manusia di atas jalan raya,” jelasnya lagi.

TRI telahpun menyokong penyelidikan Universiti Stamford berkenaan selama bertahun-tahun. Asas dari sistem yang telah digunakan pada MARTY untuk mengawal tork pada gandar belakang, brek dan juga stereng dipindahkan pada GR Supra TRI ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required