Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

2021 Ford F-150 Raptor

Ford Raptor F-150 generasi pertama pada asalnya dijana oleh enjin V8 6.2 liter dengan kuasa 411 hp dalam varian tertinggi SVT. Model generasi kedua Raptor F-150 tersebut pula menampilkan enjin lebih berkuasa dengan janaan 450 hp/691 Nm – walaupun angka kuasanya meningkat, ia sebenarnya datang dari enjin lebih kecil EcoBoost V6 3.5 liter dengan dua pengecas turbo.

Tiada sebarang masalah prestasi pada enjin berkenaan, malah ia menampilkan pecutan yang jauh lebih baik. Namun apa yang kurang berbanding enjin terdahulu adalah bunyinya – ia tidak lagi mengaum sama seperti enjin V8, dan mengurangkan sedikit aspek sensasi pemanduan.

Model generasi ketiga F-150 Raptor yang baru didedahkan minggu ini masih menggunakan enjin V6 EcoBoost yang sama, namun ia kini menerima sistem ekzos yang diolah sepenuhnya bagi memberikan yang jauh lebih garang. Menurut jurutera sistem rangkaian kuasa Ford, Jeff Nichols dalam temuramah bersama portal Road & Track, mereka turut mengambil sistem ekzos Nissan GT-R R35 sebagai contoh bagi menghasilkan ekzos baharu untuk Raptor 2021 ini.

“Kami luangkan masa yang banyak mendengar suara pelanggan. Ketika kami hasilkan trak generasi kedua, pelanggan sukar untuk menerima enjin V6. Dan ia terus sukar. Kami luangkan masa dan pelaburan yang banyak untuk sistem ekzos trak ini. Matlamatnya adalah untuk memberikan profil bunyi dan pengalaman yang sangat berbeza kepada pelanggan berbanding trak generasi kedua.

Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

2021 Ford F-150 Raptor

“Kami pergi dan lihat pada berberapa sistem ekzos laluan sama panjang tradisional dan berberapa karekter ekzos yang kami rasa sangat bagus dalam industri. Kami lihat sistem pada siri kenderaan Quadrifoglio dari Alfa Romeo, dan kami turut membuat tanda aras pada Nissan GT-R,” kata Nichols.

Sistem ekzos laluan sama panjang selalunya diberi pada enjin dengan dua kepala selinder seperti V6 dan V8, dan ia juga sistem yang sama digunakan pada Nissan GT-R R35 dan Alfa Romeo Quadrifoglio. Sistem berkenaan dihasilkan dengan memastikan laluan gas ekzos pada kedua-dua kepala silinder sehingga ke hujung tip ekzos adalah sama, dan perlu diberikan laluan paip-X yang bersilang antara satu sama lain, bagi menghasilkan prestasi dan bunyi yang garang.

Namun untuk menghasilkan sistem ekzos sedemikian yang boleh dipadankan pada trak pikap prestasi seperti Raptor ini bukanlah mudah. Ini kerana suspensi ala-rali Baja pada model ini memerlukan jarak pergerakan suspensi yang besar serta memerlukan ruang bawah dan yang banyak.

Tambahan pula, Raptor F-150 turut ditawarkan dengan set roda opsyen berdiameter 37-inci, roda paling besar pernah diberikan pada sebuah trak pikap tugas ringan produksi. Malah kelengkapan mekanikal lain termasuk transmisi turut perlu diambil kira.

Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

“Adalah sangat jarang untuk sebuah trak yang diberikan laluan ekzos pada bahagian tengah kenderaan. Biasanya ia hanya offset pada satu bahagian sisi. Oleh kerana itu, bila anda buat laluan ekzos pada hanya sebelah sisi ia sudah lagi tidak sama panjang apabila bertemu. Profil karekter bunyi, denyutan, telah berkurangan separuh kerana itu,” jelas Nichols.

Jadi Ford menghasilkan satu laluan ‘gelung trombon’ 360 darjah pada laluan ekzos sebelah penumpang, bagi memastikan ia sama panjang dengan laluan sebelah pemandu sebelum sampai ke tabung tengah. “Apabila ia sampai untuk bertemu di poin-X di belakang, panjang laluan antara kedua-duanya adalah hampir sama. Ia menjajarkan denyutan ekzos dalam turutan utama, menyebabkan profil bunyi trak ini sangat berbeza,” kata Nichols.

Raptor F-150 generasi ketiga ini juga merupakan model pertama Raptor yang diberikan sistem ekzos aktif. Ia menampilkan injap dalam paip ekzos yang dapat merubah bunyi dalam empat mod berbeza bergantung kepada mod pemanduan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja.

Kalau anda perhatikan, tabung yang berada ditengah pada sistem ekzos Raptor ini sebenarnya adalah muffler utamanya. Ia tidak boleh diletakkan pada bahagian belakang kerana akan mengganggu pergerakan gandar belakang dan jarak kelegaan tanah trak pikap ini.

Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

2021 Ford F-150 Raptor

“Biasanya, anda letak muffler di bahagian belakang, anda ada empat set tip ekzos, dan anda ada sebelah yang senyap dan sebelah yang bising. Kami betul-betul tak mahu ganggu sudut berlepas trak ini. Pakej yang kami buat adalah benar-benar kerana kami mahukan semuanya berada di tengah trak yang kami rasa ia adalah terbaik,” kata Nichols.

Muffler berkenaan mempunyai dua laluan masuk tetapi ada tiga laluan keluar. Jika injap pada sistem ekzos aktif itu dibuka sepenuhnya, gas akan melaluinya dengan tebatan bunyi yang minima, dalam masa yang sama gas ekzos dari setiap kepala selinder tidak akan bertemu sebelum paip-X.

Sekiranya injap tersebut tertutup, gas ekzos akan dialirkan ke kebuk bahagian bawah muffler berkenaan, kemudian keluar menerusi satu laluan lebih kecil yang menuju ke paip-X, memberikan bunyi yang senyap. Injap berkenaan adalah bervariasi sepenuhnya, menjadikan perubahan antara bunyi kuat dan perlahan sangat lancar.

“Ia adalah system yang sangat bising, dan ia mengeluarkan bunyi yang sangat-sangat sedap. Saya tak pernah lagi nampak sistem yang sama, pembekal juga tak pernah lagi jumpa sistem yang sama, semua orang teruja nak mencubanya,” kata Nichols lagi.

GALERI: Ford F-150 Raptor EcoBoost V6 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required