Seperti yang diketahui, selepas dari model GK5 sedia ada, pasaran ASEAN (kecuali Singapura) kini tidak lagi menerima hatchback Honda Jazz generasi terkini yang sama seperti di Jepun (dikenali sebagai Fit). Sebab itulah model JDM berkenaan kini diberikan imej yang jauh lebih comel tanpa sebarang unsur garang, dan ia turut di bawa ke Eropah, sesuai dengan selera terkini kedua-dua pasaran berkenaan.

Jadi untuk ASEAN, kita diberikan model yang lebih panjang dan rendah, iaitu Honda City generasi terkini yang di hatchbackkan. Seperti model sedannya, ia terlebih dahulu diperkenalkan di negara yang membangunkan model ini iaitu Thailand, dilancarkan pada November tahun lalu.

Dalam keadaan standard, mungkin ramai yang kurang berkenaan dengan rupa City Hatchback tersebut. Tapi Honda City Hatchback yang anda lihat dalam gambar yang diambil oleh laman Facebook Racing King ini telahpun diberikan sedikit sentuhan Kaeza Shop Thailand – sekarang macam mana? Sudah jatuh hati dengan model ini?

City Hatchback Kaeza Shop ini diasaskan dari varian tertinggi RS Turbo pasaran Thailand. Dalam keadaan standard ia telah pun dibekalkan dengan kemasan hitam pada gril, antena sirip jerung, spoiler belakang, penutup cermin sisi, elemen diffuser pada bampar belakang dan perumah lampu kabus.

Kaeze Shop cuma memberikan perincian tambahan yang cukup minima pada bahagian luaran City Hatchback ini termasuk spoiler bawah bampar hadapan kemasan hitam berkilat, serta penutup cermin sisi dan antena sirip yu di atas bumbung yang diperbuat dari gentian karbon.

Apa yang benar-benar membuatkan imej hatchback ini berubah kerana badannya kini lebih rapat ke permukaan jalan raya menerusi pemadanan set suspensi boleh laras sepenuhnya H-Drive Racing S Spec buatan Thailand, bersama set rim Rays Engineering TE37 berdiameter 15-inci, disalut tayar Toyo Proxes R888R bersaiz 205/50R15. Roda hadapan turut menyerlahkan sistem brek lebih besar terdiri dari angkup D2 dan cakera jenis terapung yang ditebuk.

Kesemua varian City Hatchback di Thailand menerima enjin 1.0 liter (998 cc) tiga-silinder VTEC Turbo menghasilkan 122 PS dan tork maksima, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dreams. Unit demo RS Turbo dari Kaeza Shop ini pula menampilkan berberapa ubahsuai ringan seperti talaan semula dengan komputer piggy back popular di Thailand iaitu ECU Shop Power Box, penstabil voltan KT-56, dan juga satu lagi produk tempatan Siam iaitu muffler sport AZC Titanium.

Pada bahagian dalaman, tempat duduk hadapan asal telah digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro CS Sportster. Kaeza Shop juga turut memadankan paparan pelbagai info tambahan Defi ZD bersama meter boost turbo juga dari Defi.

Ramai dah jiwa kacau tengok City Hatchback dari negara jiran ni? Boleh dah kot mula menyimpan sikit-sikit untuk duit pendahuluan dan aksesori bila model ini dilancarkan di Malaysia kelak. Tapi sama seperti versi sedan, City Hatchback pasaran Malaysia mungkin turut hanya dijana oleh enjin 1.5 NA DOHC i-VTEC, menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm.