Tahun ini masuk tahun keenam Honda S660 berada dalam pasaran. Kereta sport enjin tengah dalam saiz Kei atau ‘Baby NSX’ ini diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai gantian kepada Honda Beat generasi terdahulu, serta untuk menyambut ulangtahun ke-50 Honda. Model ini juga hanya dijual secara ekslusif pada pasaran Jepun.

Tiga tahun selepas itu, S660 Modulo X pula diperkenalkan. Ia adalah versi yang menerima pakej penggayaan lebih agresif, bersama talaan semula yang dibuat pada sistem pengendalian. Versi facelift untuk S660 Modulo X tersebut kemudiannya muncul di Tokyo Auto Salon 2020, diberikan rupa yang disegarkan.

Walau bagaimanapun, hayat produksi S660 dilihat sudah begitu lama, dan Honda sudah pun mengumumkan bahawa pengeluarannya akan dihentikan pada Mac 2022. Sehingga kini, lebih 30,000 unit S660 termasuk model Modulo X telah dijual, jadi bagi menghargai sambutan yang diterima, Honda melancarkan model selamat tinggal untuk kereta sport kecil ini, digelar S660 Modulo X Version Z.

Jika versi biasa datang dengan pilihan kotak gear CVT atau manual, model S660 Modulo X ini seakan memilih pembelinya dikalangan mereka yang benar-benar suka memandu sahaja – ia hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Tiada perubahan dari segi enjin, di mana ia masih dijana enjin kapasiti maksimum untuk Kei-Car di Jepun iaitu 660 cc tiga-silinder dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa yang juga maksimum boleh dijana sebuah Kei-Car dari standard dari kilang iaitu 64 PS dan tork maksima 104 Nm. Enjin yang diletakkan di belakang pemandu berkenaan memindahkan putaran aci engkol ke roda belakang untuk menggerakkan kereta.

Ia juga masih menerima perincian-perincian dari S660 Modulo X standard, termasuk penyerap hentak boleh laras dengan lima tahap, cakera brek yang ditebuk bersama pad berprestasi tinggi, bampar hadapan lebih sporty, spoiler belakang boleh laras aktif, rim aloi staggered berdiameter 15-inci di hadapan dan 16-inci di belakang, serta ekzos tengah bersepadu.

Apa yang membezakan model edisi terhad ini dengan S660 Modulo X standard adalah berberapa perincian estetik yang diberikan. S660 Modulo X Version Z ini dihasilkan hanya dalam warna ekslusif Sonic Grey Pearl dan juga Premium Star White Pearl sahaja.

Kemudian, kesemua emblem pada badan model edisi khas ini datang dalam kemasan hitam krom. Spoiler aktif pada penutup but belakang dan juga rim aloi juga diberikan warna hitam bagi memberikan rupa lebih agresif.

Manakala pada sebelah dalam pula, ia diberikan banyak kemasan seakan gentian karbon, pada bahagian seperti perumah papran instrumen, corong pendingin hawa, dan juga pada panel kawalan tengah. Ia juga diberikan upholsteri gabungan Lux Suede hitam dan Bordeaux Red bersama benang jahitan kontras.

Model edisi terhad ini juga dibekalkan sekali dengan beg ekslusif Modulo X yang boleh digantung pada bahagian tengah antara tempat duduk kiri dan kanan, serta plak alumium yang diletakkan pada penghujung konsol tengah.

Honda S660 Modulo X Version Z ini dijual pada harga 3,150,400 yen (RM118,833), lebih mahal dari S660 Modulo X standard yang dijual pada harga 3,042,600 yen (RM114,776). Namun kebiasaannya, model-model JDM edisi terhad sempena selamat tinggal ini biasanya dicari oleh pengumpul kereta dari seluruh dunia, dan tak mustahil harga akan kekal tinggi dalam pasaran kereta terpakai kelak.