Nissan X-Trail genarasi ke-empat telah dilihat di China sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan. Dan apa yang mengejutkan, ia turut akan ditawarkan dengan varian yang dijana oleh enjin VC-Turbo, iaitu enjin turbo yang dihasilkan oleh divisi mewahnya, Infiniti, menampilkan teknologi nisbah mampatan yang boleh berubah-ubah.

Menurut laporan oleh AutoHome, unit yang dilihat berkenaan mengenakan lencana “300 VC-Turbo” dan “4×4”. Ia berkemungkinan menggunakan enjin 2.0 liter VC-T yang sudahpun digunakan pada Nissan Altima generasi terkini serta SUV mewah Infiniti QX50. Ia mungkin akan menggunakan talaan seperti pada Altima yang menghasilkan 248 hp dengan tork maksima 370 Nm, berbanding pada QX50 yang menjana 270 hp dan tork maksima 390 Nm.

Enjin VC-Turbo ini didedahkan buat pertama kali pada 2016. Enjin berkenaan merupakan enjin produksi dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi pertama seumpamanya di dunia. Ia diberikan rekaan mekanikal khas pada aci engkol (crankshaft) yang membolehkan nisbah mampatannya berubah dari 8:1 (untuk prestasi tinggi) hingga 14:1 (untuk kecekapan bahan api tinggi).

Lebih perincian berkenaan X-Trail ini dijangka akan diumumkan hampir sebelum tarikh pelancarannya nanti. Buat masa sekarang pada pasaran lain, X-Trail generasi baharu tersebut sudahpun menerima pilihan enjin QR25DE 2.5 liter empat silinder NA yang dirombak semula, menghasilkan 184 PS dan tork maksima 245 Nm, atau 11 PS/8 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya.

Ia juga masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, serta ditawarkan dengan pilihan sama ada memacu roda hadapan atau diberikan sistem pacuan semua roda. Dikhabarkan, X-Trail juga bakal menerima pilihan varian yang dijana rangkaian kuasa hibrid.