Yamaha Europe, melalui saluran media sosial mereka telah mengeluarkan satu video teaser yang memberi petunjuk ketibaan model baru tidak lama lagi. Video ini cuma sepanjang 28 saat tetapi menimbulkan keterujaan kepada penggemar motosikal.
Sebabnya, di dalam video ini dinyatakan ia adalah sebuah motosikal siri R (ditunjukkan dengan logo R/World), dan diterapkan dengan kemampuan yang boleh dibawa atas jalan biasa serta litar. Sepanjang video itu kita dibawa melalui jalan-jalan berliku.
Video ini mempunyai lagu latar yang kuat tetapi pada penghujungnya, bagi yang lebih teliti, anda akan dapat mendengar bunyi enjin yang dikerah sepenuhnya. Kami menjangka ini adalah bunyi enjin sebenar model baru yang bakal didedahkan tersebut.
Melalui pengalaman dan penelitian kami, ini bukanlah bunyi enjin berkapasiti tinggi seperti 1,000 cc empat silinder ataupun tiga silinder seperti MT-09. Kemungkinan besar ia adalah bunyi enjin dua silinder ataupun kurang daripada itu.
Di negara luar juga ramai yang menjangkakan ini adalah model sports R dengan enjin MT-07 kerana sebelum ini sudah ada khabar angin yang tersebar. Jika benar, ia tentunya menarik kerana asas daripada MT-07 yang menggunakan enjin dua silinder ini lebih mampu milik berbanding R6 yang menggunakan enjin empat silinder.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.