Hampir satu tahun selepas Volkswagen Tiguan diberikan facelift, kini giliran model sama, versi lebih besar, iaitu Tiguan Allspace pula menerima peningkatan. Bahagian mekanikalnya masih sama tetapi penampilan dan teknologi dipertingkat seperti Tiguan biasa.

Ini termasuklah keseluruhan bahagian hadapan yang direka semula, menampilkan lampu LED lebih nipis (boleh didapati dengan teknologi matriks IQ.Light) dan mempunyai ekor seperti Golf Mk8, serta gril yang lebih besar. Di bahagian gril itu juga anda akan nampak jalur lampu yang menyambungkan kedua-dua lampu utama, dan ini sebenarnya disediakan sebagai pilihan tambahan.

Bahagian bampar juga mendapat rekaan baru, dengan bahagian bucunya terdapat kemasan bukaan udara berbentuk C yang besar. Kemasan hiasan di bahagian fender telah dijadikan lebih nipis dan panjang, sementara di belakang pula terdapat lencana Tiguan baru di tengah, jalur pemantul cahaya sepanjang bampar serta kemasan bawah bampar dengan muncung ekzos hiasan. Lampu seperti dalam gambar adalah pilihan tambahan IQ.Light.

Seperti sebelumnya, anda boleh memilih pakej R-Line untuk Tiguan Allspace ini, di mana ia datang dengan kemasan krom serta hitam berkilat pada keliling bukaan udara di bampar, serta kemasan lengkuk roda dan diffuser belakang yang sama warna seperti badan. Pilihan rim yang diberi pula antara 17 inci hingga 20 inci.

Di dalam, Tiguan Allspace mendapat panel jenis sensitif sentuhan untuk butang kawalan pada stereng serta pendingin hawa. Panel instrumen digital dengan skrin lapan inci diberikan secara standard sementara skrin sepuluh inci pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem infotainmen dalam kenderaan ini juga dinaik taraf dengan sistem Modular Infotainment Matrix (MIB3) generasi ketiga.

Barangan lain yang boleh dipilih adalah seperti pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, lampu suasana 15 warna serta sistem bunyi premium sama ada daripada Fender ataupun Harman Kardon. Untuk aspek keselamatan, semua model datang dengan brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, pemerhati titik buta serta amaran trafik dari belakang.

Pembeli kemudiannya boleh mendapatkan pakej IQ.Drive yang memberikan tambahan Adaptive Cruise Control dengan fungsi gerak dah henti, serta Lane Centring Assist yang memberikan pemanduan semi autonomous Level 2. Terdapat juga beberapa kelengkapan tambahan lain seperti lampu tinggi automatik, bantuan letak kereta dan pengenalan tanda jalan.

Pilihan enjin masih sama seperti sebelumnya, di mana ia termasuk unit empat silinder petrol turbo 1.5 liter TSI 150 PS dan empat silinder 2.0 liter pacuan semua roda dengan kuasa 190 PS atau 245 PS. Unit yang digerakkan enjin diesel turbo 2.0 liter TDI ditawarkan dengan kuasa 150 PS atau 200 PS manakala pilihan kotak gear pula terdiri daripada manual enam kelajuan ataupun DSG tujuh kelajuan.