Ini mungkin berita baik buat peminat-peminat prestasi Proton khususnya pemilik Proton X50 – pembuat peralatan prestasi, Works Engineering telah mengumumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan produk yang boleh digunakan pada SUV segmen-B berkenaan.
Menerusi imej yang disiarkan dalam laman Facebook Works Engineering Malaysia, mereka turut mengumumkan pemandu utama Proton R3 yang telah merangkul juara perlumbaan Sepang 1000km untuk tahun 2018 dan 2019, Farique Hairuman telah dilantik sebagai duta Works Engineering. Manakala kereta yang bakal ditala pula adalah sebuah Proton X50 dari varian Executive
Ini bukan kali pertama Works Engineering menghasilkan peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton. Sebelum ini mereka telah pun memperkenalkan pelbagai komponen seperti pulley aci sesondol boleh laras, kit induksi, dan lain-lain untuk enjin S4P Proton dalam versi Campro dan CFE, bagi model seperti Satria Neo, Preve dan Suprima S.
“Kami sangat teruja tahun ini, bersama En. Farique, duta dengan pemikiran yang sama serta mempunyai matlamat yang sama, membawa pasukan ke tahap lebih tinggi dan menawarkan produk berkualiti tinggi luar biasa dan pengalaman pemanduan yang lebih baik kepada pengguna dalam pasaran.
“Pada 2011, Works Engineering mempunyai kereta projek Satria Neo dan Preve serta melancarkan barisan produk yang berjaya. Sekarang, Proton X50 akan menjadi kereta projek kami yang seterusnya. Teruskan bersama kami untuk barisan produk baru yang mengujakan!” tulis Works Engineering dalam hantaran berkenaan.
Walaupun menggunakan asas enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama, Proton X50 dari varian Executive (juga bersama varian Standard dan Premium) menghasilkan kuasa yang sedikit kurang berbanding model varian tertinggi Flagship.
Ini kerana kedua-dua versi berkenaan menggunakan sistem suntikan bahan api yang berbeza. Model Executive hanya dipadankan dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) yang menghasilkan kuasa 150 PS (147 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.
Manakala untuk model Flagship pula, enjin berkenaan menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI) membolehkan ia mengekstrak sejumlah 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun kedua-dua jenis enjin ini tetap menggunakan sistem transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik (DCT) jenis basah tujuh-kelajuan untuk memacu hanya roda hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
After sales service Proton apa pun tak guna!!!, Lembab