Walaupun sudah dijelaskan ketika pelancarannya hujung tahun lalu, pasti masih ramai yang skeptikal dengan Toyota Vios GR-Sport dan menganggapnya sebagai varian paling sporty hanya menerusi penampilannya saja bukan? Kalau masih ragu-ragu, mari sini, Prince of Drift kita yang juga juara Vios Challenge dua kali serta duta rasmi Toyota GR, Tengku Djan Ley terangkan sendiri apa yang berbeza pada Vios GR-S ini berbanding Vios biasa.
Menerusi video berkenaan, Tengku Djan menyatakan bahawa rekaan kit badan terutamanya pada bampar hadapan adalah diinspirasikan dari rekaan bampar GR Yaris. Selain dari hanya nampak sporty, talaan suspensi Vios GR-S ini juga telah diusik semula – ia diberikan spring 20% lebih keras, kemudian penyerap hentak di tala semula bagi dipadankan dengan spring berkenaan.
Dan untuk melengkapkan karekter baharu pengendalian Vios GR-S ini, ia menerima set rim aloi 17-inci kemasan hitam, bersama tayar Toyo Proxes TR1 (sama seperti yang digunakan pada kereta lumba Vios Challenge) dalam saiz 205/40R17. Menurut Tengku Djan, walaupun suspensi Vios GR-S ini lebih keras bagi memberikan kawalan badan dan respon stereng yang lebih baik, talaan yang dibuat turut tidak mengorbankan keselesaan bagi digunakan pada pemanduan harian.
Kotak gear CVT mungkin antara penyebab sesebuah kereta itu kurang seronok untuk dipandu. Jadi kotak gear CVT Vios GR-S ini telah ditala semula agar ia tidak mensia-siakan keseronokan yang telah diberi pada pengendaliannya. Transmisi tersebut telah diberikan “10-kelajuan maya” yang memberikan rasa seakan tukaran gear sebenar, bersama ‘gear satu’ yang lebih pendek, bagi memberikan pecutan dari kedudukan pegun yang lebih baik.
Dengan mod Sport, transmisi CVT pada Vios GR-S ini akan memberikan tukaran gear maya yang lebih cepat antara nisbah ketika memecut, serta memberikan ‘downshift’ yang cepat dan bertepatan dengan kelajuan ketika pemandu membrek. Ia juga menahan nisbah gear dengan lama ketika pedal pendikit ditekan ketika meredah selekoh, membolehkan kawalan pedal dibuat dengan lebih tepat.
“Dengan penambahbaikkan pada rangkaian kuasa, bersama pengendalian yang sporty menjanjikan pemmanduan yang mengujakan buat anda,” kata Tengku Djan dalam video berkenaan. Namun tiada tambahan kuasa diberikan pada Toyota Vios GR-S ini. Ia masih dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang menghasilkan 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm.
GALERI: Toyota Vios GR-Sport
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.