E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

Pembuat kereta elektrik dari Jerman, E-Legend telah memperkenalkan model produksi baharunya yang digelar sebagai E-Legend EL1. Nampak macam kenal? Ya, rekabentuk keseluruhan kereta sport elektrik ini sebenarnya diinspirasikan dari Audi Sport Quattro, asas kepada rasaksa era Group B Kejuaraan Rali Dunia (WRC), Audi Sport Quattro S1.

Rupa yang seakan Sport Quattro tersebut dihasilkan menerusi bentuk badannya yang seakan sama, serta perincian-perician lain seperti bonet dengan tiga liang udara, perumah lampu hadapan segi empat, jalur LED lampu nyalaan siang pada bampar dengan perumah seakan liang udara empat segi pada Sport Quattro sebenar, serta otot-otot pada setiap fender seakan lengkuk asal fender Audi klasik berkenaan.

Manakala di belakang, ia menampilkan panel seakan lampu dan kemasan dari Sport Quattro, dengan jalur lampu LED ditambah pada keseluruhan sekeliling panel berkenaan. Rupa luaran E-Legend EL1 ini dilengkapkan dengan rim berwarna putih lima jejari bersaiz 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang.

E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

Tidak banyak perincian dalaman didedahkan. Apa yang dapat dilihat adalah kabin kereta tersebut diberikan roda stereng tiga jejari berkembar dengan penanda pukul 12 berwarna kuning, papan pemuka bersegi dengan skrin untuk paparan instrumen digital, skrin infotainmen pada bahagian tengah serta dua skrin di hujung kiri dan kanan memaparkan visual dari kamera pandang belakang yang menggantikan cermin konvensional.

Kereta elektrik ini digerakkan dengan tiga motor elektrik; satu pada gandar hadapan dan dua di belakang menjadikan ia jentera pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 804 hp (600 kW/816 PS). Dengan berat 1,680 kg, EL1 boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan mencapai kelajuan 200 km/j tidak sampai 10 saat.

Model kelahiran semula Audi Sport Quattro S1 ini menggunakan asas teknologi 800-volt yang sama seperti Porsche Taycan dengan pek bateri 90 kWj. Jadi ia turut boleh menggunakan caj cepat seperti kereta sport Porsche berkenaan, dan membekalkan kuasa untuk bergerak sejauh 400 km untuk satu caj penuh.

E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

Bateri tersebut turut menampilkan sistem penyejukkan cecair termaju, membolehkan EL1 ini dibelasah secukupnya dengan mod pemanduan SportPlus sepanjang dua lap penuh di litar Nürburgring Nordschleife tanpa masalah. Pengendalian kereta elektrik ini turut dibantu dengan sistem torque vectoring yang mengagihkan tork pada setiap roda mengikut situasi dan keperluan.

E-Legend hanya akan menghasilkan 30 unit EL1 dan dijangka akan siap diproduksi tahun hadapan. Oleh itu, ia dijual pada harga yang agak mahal iaitu lebih dari 1 juta Euro (RM4.9 juta). Syarikat berkenaan turut merancang untuk menghasilkan model EL2 dan EL3, di mana salah satunya akan menampilkan rekaan seakan satu lagi jentera rali era Group B iaitu Lancia Stratos HF Stradale.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required