Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

Lamborghini sememangnya jenama eksotik dan ekslusif dengan satu-satu produk mereka biasanya tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Namun menerusi SUV terbaharunya, Lamborghini Urus, sambutan yang diterima dilihat agak luar biasa. Baru tiga tahun berada dalam pasaran, produksi Urus kini sudah pun mencapai angka ke 15,000-unit!

Menurut Lamborghini, ini merupakan model dengan jumlah produksi tertinggi pernah mereka hasilkan dalam masa yang singkat selepas dilancarkan. Urus dengan casis yang ke-15,000 berkenaan adalah unit yang didatangkan dengan pakej Graphite Capsule dan akan dihantar ke pelanggan di Britain. Dengan pakej tersebut pembeli boleh memilih antara empat warna matte yang ditawarkan, dan pelanggan unit berkenaan telah memilih warna Grigio Keres bersama serlahan Verde Scandal .

Lamborghini Urus dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 650 PS dan tork maksima 850 Nm. Kuasa berkenenaan dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear ZF lapan kelajuan automatik dan sistem AWD. Ia masih SUV produksi paling pantas dalam pasaran buat masa sekarang – mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, 0-200 km/j dalam masa 12.8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 305 km/j.

Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

Mac lalu, Urus telah pun mencatatkan rekod kelajuan di atas permukaan ais di Tasik Baikal, Rusia ketika acara Days of Speed. SUV berkenaan mencatatkan kelajuan maksima 298 km/j dan kelajuan purata 114 km/j bermula dari kedudukan pegun sehingga 1,000 meter di atas permukaan licin tersebut. Menurut Lamborghini, rekod ini membuktikan “prestasi hebat dan pengendalian yang luar biasa walaupun dengan cengkaman yang berkurangan” pada Urus.

Dalam perkembangan berkaitan, Lamborghini juga baru sahaja mengumumkan prestasi jualan separa pertama 2021 mereka yang mencatatkan jualan sebanyak 4,852 unit seluruh dunia. Ini merupakan satu lagi kejayaan besar buat jenama Itali ini kerana angka berkenaan adalah angka jualah separa tahun pertama yang paling tinggi dalam sejarah mereka.

Dari keseluruhan angka jualan tersebut, Urus adalah model yang paling laris dengan jualan 2,796 unit (naik 35% berbanding tempoh sama tahun lalu). Ia diikuti dengan barisan kereta sport dan super mereka iaitu Huracan dengan jualan 1,532 unit (naik 46%) dan Aventador terjual sebanyak 534 unit (naik 21%). Tempahan untuk kereta-kereta yang diproduksi di kilang Sant’Agata Bolognese berkenaan juga diumumkan telah penuh sehingga bulan April tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required