Honda City sedan gen. ke-4 baru dilancar di Pakistan – 2 beg udara, pilihan 1.2L & 1.5L, bermula RM69k

Kita di Malaysia dan berberapa pasaran lain di Asia Tenggara telah pun menerima Honda City sedan generasi kelima yang diperkenalkan tahun lalu. Namun untuk pasaran Pakistan, semalam Honda Atlas Cars Pakistan baru sahaja melancarkan Honda City sedan ‘baharu’ yang sebenarnya model generasi keempat, bagi menggantikan model generasi ketiga yang telah pun dijual selama 12-tahun di negara berkenaan.

Menurut butiran-butiran yang disiarkan oleh Carspirit.pk (laman sesawang rasmi Honda Pakistan masih belum memaparkan sebarang maklumat), Honda City sedan generasi keempat pasaran Pakistan ini ditawarkan dalam lima varian, dengan pilihan dua jenis kapasiti enjin dan dua pilihan kotak gear.

Ia bermula dengan model paling asas 1.2L MT berharga PKR 25,99,000 (RM69k), 1.2L CVT berharga PKR 27,99,000 (RM73k), 1.5L CVT berharga PKR 28,99,000 (RM76k) dan dua varian tertinggi iaitu 1.5L Aspire MT berharga PKR 30,19,000 (RM79k) serta 1.5L Aspire CVT berharga PKR 31,74,000 (RM83k).

Bagi model dengan enjin 1.2 liter, ia menerima enjin i-VTEC dengan kuasa 88 hp dan tork maksima 110 Nm. Manakala model 1.5L pula ia dijana dengan enjin i-VTEC yang berkuasa 118 hp dan tork maksima 118 hp dan tork maksima 145 Nm – kedua-dua enjin ini memenuhi standard emisi Euro-IV. Untuk transmisi pula, model MT menerima kotak gear manual lima-kelajuan, dan model transmisi automatik digandingkan dengan kotak gear CVT.

Menerusi brosur yang juga disiarkan oleh Carspirit.pk, City pasaran Pakistan ini menampilkan perincian luaran yang sama dengan City sedan generasi keempat di Malaysia dalam versi facelift. Namun, tiada lampu hadapan projektor ditawarkan untuk mana-mana varian City pasaran Pakistan ini, di mana ia hanya menerima lampu hadapan jenis halogen. Bagi model Aspire, ia menerima lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus dan lampu belakang kedua-duanya jenis mentol biasa.

Model tertinggi itu juga diberikan perincian yang nampak lebih premium dengan pembuka pintu kemasan krom, rim aloi 15-inci dan juga antena sirip yu. Model lebih rendah pula hanya menerima rim besi 15-inci dengan penutup plastik, pembuka pintu kemasan warna badan dan antena biasa.

Kesemua varian City ini diberikan bahagian dalaman dua tona dengan warna beige dan hitam, tempat duduk pemandu dengan larasan ketinggian, tempat duduk belakang dengan perehat tangan dan pemegang cawan. Model asas diberikan skrin infotainmen 7-inci, sistem penghawa dingin manual dengan suis kawalan konvensional, dan juga stereng dengan kawalan audio.

Model Aspire pula menerima skrin infotainmen 9-inci, pendingin hawa automatik dengan kawalan sesentuh dan liang kabin belakang, sistem cruise control, butang penghidup enjin dan roda stereng bersama butang pelbagai fungsi.

Untuk keselamatan pula, kesemua varian hanya menerima dua-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan Isofix, kamera undur serta sistem brek ABS dan EBD. Tiada sebarang sistem kestabilan elektronik dan bantuan mula mendaki ditawarkan walaupun pada model tertinggi Aspire.

Model ini ditawarkan dalam tujuh-warna badan serta waranti selama tiga tahun atau 75,000 km. Carspirit.pk juga menyatakan bahawa untuk pelanggan terawal yang membuat tempahan, mereka hanya akan menerima kereta masing-masing dalam masa tujuh bulan dari sekarang.

GALERI: Brosur Honda City 2021 pasaran Pakistan yang disiar Carspirit.pk

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required