Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

Mercedes-Benz telah membuat pengumuman bahawa mereka akan mendedahkan EQE sewaktu pameran IAA Mobility di Munich, Jerman, September nanti. Bersama pengumuman ini, mereka turut menyiarkan dua gambar teaser– satu menampakkan bahagian penjuru tepinya manakala satu lagi keadaan penuh bahagian kokpit.

Gambar yang gelap untuk bahagian luar itu tidak menampakkan banyak benda, kecuali pencahayaan lampu dengan grafik unik dan bersambung dengan satu jalur di tengah. Kita juga boleh melihat persamaan bentuk kereta ini dengan EQS, seperti lengkuk badannya, tetapi ia lebih pendek.

EQE akan menjadi model kedua yang menggunakan platform EVA (juga dirujuk sebagai MEA), dan dijangka mendapat penggerak elektrik pacuan roda belakang dan semua roda. Untuk bahagian dalam, sekali lagi, ia tidak begitu jauh beza dengan EQS, dengan sekurang-kurangnya terdapat tiga panel paparan, tetapi kita masih tidak mengetahui sama ada ia akan dilengkapi sistem Hyperscreen yang sama ataupun tidak.

Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

Selain daripada EQE, Mercedes-Benz juga ada beberapa benda menarik lain untuk ditunjukkan sewaktu IAA Mobility nanti, termasuklah sebuah sedan elektrik penuh Mercedes-AMG, yang berkemungkinan adalah versi prestasi bagi EQS.

Kereta elektrik AMG ini kemudiannya akan disertai oleh model hibrid prestasi pertama yang diletakkan di bawah label E Performance, yang mana ia boleh jadi sama ada Project One ataupun GT 73 EQ Power+. Selain daripada itu, nanti juga akan ada sebuah kenderaan konsep yang menunjukkan “bagaimana Mercedes-Maybach menyertai zaman mobiliti elektrik” – mungkin versi lebih mewah bagi SUV EQS yang ditunjukkan dalam teaser baru-baru ini.

SUV EQS sebelum ini telah disahkan cuma akan tiba pada tahun hadapan, jadi model konsep ini akan menjadi petunjuk awalnya. Daripada jenama Smart pula, akan ada sebuah kereta pameran yang menjadi bayangan untuk kenderaan elektrik penuh generasi baru jenama itu.

Model lain yang akan membuat penampilan waktu acara yang berlangsung pada 7 hingga 12 September itu adalah seperti EQB, S-Class Guard dan C-Class All Terrain. Tema Mercedes-Benz semasa acara ini sudah jelas adalah berkenaan penggerak elektrik, selari dengan hala tuju mereka yang mahu memperkenalkan hanya platform serta model elektrik baru bermula 2025.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required