Proton Iriz dan Persona facelift 2021 – teaser rasmi disiar, bakal dilancarkan secara rasmi 5 Ogos ini

Setelah pelbagai gambar intipan muncul dan kemudian ia terdedah dalam satu video langsung, akhirnya Proton secara rasmi menyiarkan teaser rasmi untuk Iriz dan Persona facelift 2021, dan mengumumkan bahawa ia bakal dilancarkan pada 5 Ogos ini. Menerusi video berdurasi 33 saat itu juga memperlihatkan berberapa ciri penting untuk model kembar hatchback dan sedan yang disegarkan ini.

Untuk Iriz, varian psedo-SUV dengan rupa lebih lasak dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi serta kemasan-kemasan pelindung badan seakan Perodua Axia Style telah pun muncul dalam video teaser ini. Varian tersebut juga dilihat mengenakan rim dengan corak pelbagai jejari dan diberikan rel bumbung berwarna perak untuk kelihatan seperti SUV, serta menerima warna badan dua tona; tema merah-hitam mungkin menandakan ia adalah adik kepada Proton X50.

Sedikit perincian dalaman juga terdedah dalam video pendek ini. Iriz ‘SUV’ ini nampak turut diberikan serlahan-serlahan merah dalam kabin, khususnya pada bahagian konsol tengah dan skrin infotaimen, yang diserasikan tempat duduk separa kulit yang turut diberikan jahitan benang merah. Tiada nama rasmi didedahkan untuk varian baru Iriz ini, namun tak mustahil ia akan digelar Iriz Active, sempena nama model konsep psedo-SUV yang sama dihasilkan Proton pada tahun 2014.

Manakala untuk Persona, ia nampaknya diberikan rim baharu dengan rekaan enam-jejari. Sedikit bahagian dalaman sedan berkenaan didedahkan menerusi video ini yang memperlihatkan Persona juga menerima sentuhan lebih premium dengan panel dalaman pintu yang diberikan balutan kulit berliang berwarna perang.

Satu ciri menarik yang diberikan pada kedua-dua Iriz dan Persona yang terdedah pada video ini adalah ia tidak lagi menampilkan skrin infotainmen yang tenggelam pada papan pemuka, sebaliknya ditukar dengan skrin berdiri sendiri dengan saiz yang lebih besar. Tiada aplikasi Spotify kerana jelas dalam video ini ia masih dibekalkan dengan aplikasi Joox untuk mendengar muzik secara streaming.

Dalam video ini juga ada menunjukkan bahawa sistem ‘Hi-Proton’ pada sistem infotainmen berkenaan mungkin turut boleh mengoperasikan sistem elektrikal lain pada Iriz dan Persona facelift ini kerana tertulis arahan “open the window” dan “alright, open” pada skrin tersebut.

Pada model sedia ada, sistem tersebut hanya boleh digunakan pada fungsi yang ada pada skrin infotainmen sahaja, berbeza pada sistem untuk Proton X70 dan X50 yang turut boleh mengawal tingkap, bumbung suria, sistem pendingin hawa dan sebagainya.

Iriz dan Persona juga masing-masing hadir dengan gril yang dikemaskini serta diberikan logo bulat kepala harimau ‘Thundercats’ baharu Proton, bersama rekaan bampar baharu dan juga lampu hadapan LED. Tempahan belum lagi dibuka, tapi untuk menjadi antara orang terawal untuk memiliki model facelift Iriz dan Persona ini, anda sudah boleh mendaftarkan minat di laman sesawang khas yang telah dibuka oleh Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required