Toyota dilaporkan bakal menamatkan penawaran Toyota Avalon di pasaran Amerika Syarikat. Menurut Automotive News, jabatan pembelian Toyota telah memberitahu para pembekal mereka melalui surat bahawa produksi Avalon akan dihentikan selepas pengenalan model 2022.
Toyota Avalon merupakan sedan flagship yang diletakkan lebih tinggi dari Camry di Amerika Syarikat, dan mula dijual di pasaran berkenaan bermula pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, jurucakap Toyota mengesahkan bahawa Avalon akan terus ditawarkan di pasaran China, dihasilkan di kilang FAW-Toyota Tianjin kerana permintaan terhadap sedan besar masih lagi tinggi di Republik tersebut.
Toyota sendiri masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara ini, tetapi laporan tersebut menyebut bahawa keputusan untuk menghentikan penawaran Avalon ini adalah kerana pasaran sedan di Amerika Syarikat yang semakin mengecil.
Malah, sejak pengenalan Avalon generasi kelima pada 2018, hasil jualan dari tahun ke tahun menunjukkan pembeli sudah tidak begitu minat lagi terhadap sedan, walaupun Avalon dihasilkan dalam versi TRD yang lebih sporty buat pertama kali.
Rekod jualan setahun penuh pertama Avalon generasi kelima berkenaan pada 2019 menunjukkan Toyota hanya mampu menjual sedan tersebut dengan jumlah 27,767 unit, jatuh 17.3% berbanding 2018. Ia menjadi lebih buruk pada 2020 apabila jumlah jualannya jatuh 33.7% kepada hanya 18,421 unit. Tetapi ada peningkatan ditunjukkan tahun ini dengan 10,328 unit dijual pada separa pertama 2021, naik 36.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun angka tersebut masih dilihat jauh lebih rendah berbanding Camry dan juga SUV RAV4. Dalam separa pertama 2021, Toyota telah menjual sebanyak 177,671 unit Camry dan juga 183,360 unit RAV4 pada pasaran Amerika Syarikat.
Toyota Avalon generasi kelima ini diasaskan dari platform GA-K Toyota, yang dikongsi bersama Camry dan Lexus ES. Ia dijana oleh pilihan enjin sama ada unit 3.5 liter V6 bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift, atau enjin 2.5 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem hibrid. Avalon ditawarkan dalam 10 varian berbeza untuk pasaran AS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.