Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Sebelum ini tentu ramai yang menyangka model facelift bagi Iriz dan Persona 2022 yang dilancarkan bulan lalu menerima kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT macam Saga facelift 2019 bukan?

Namun sangkaan tersebut meleset. Ketika ramai yang mahukan sedan dan hatchback itu hadir dengan kotak gear AT biasa, mengapa Proton masih mempertahankan transmisi CVT dari Punch berkenaan? Persoalan tersebut telah dijawab oleh eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah baru-baru ini.

Menurutnya, Proton mengambil keputusan untuk terus menggunakan kotak gear CVT dari Punch berkenaan setelah menjalankan pelbagai kajian dan juga mengambil kira maklum balas pasaran, secara khususnya mengambil model-model segmen-B dari Jepun sebagai kayu ukur. Kotak gear CVT ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik berbanding kotak gear lain dengan harga yang sama bagi segmen ini, dan sebab itu ia masih digunakan oleh kebanyakkan jenama dalam segmen yang sama, jelas Adzrai.

Beliau turut menambah bahawa Iriz dan Persona facelift tidak menggunakan kotak gear 4AT dari Hyundai seperti yang dibuat pada Saga kerana ia hanya mempunyai empat kelajuan dan bakal mengorbankan aspek penggunaan bahan api. Perlu diingat, Iriz (varian Executive dan Active) serta Persona dijana oleh enjin 1.6 liter, menampilkan tork lebih besar berbanding Saga yang hanya dijana oleh enjin 1.3 liter.

Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Malah, jumlah pengeluaran untuk Iriz dan Persona juga tidak sebanyak Saga (dengan jumlah produksi 4,500 hingga 5,000 unit sebulan kerana ia lebih murah), jadi kos kejuruteraan untuk memadankan kotak gear 4AT tersebut juga tidak dapat dibuat dengan kos yang efektif.

Adzrai turut menyatakan bahawa kotak gear enam-kelajuan automatik konvensional “mungkin dipertimbangkan” ketika itu bagi dipadankan dengan enjin CamPro VVT Iriz dan Persona, namun sudah tentu ia akan meningkatkan kos, jadi keputusan yang dibuat adalah hanya kekal dengan CVT.

Selepas banyak perbincangan yang dibuat, Proton mendapati kebanyakkan respon yang diberikan terhadap CVT adalah dari segi kualiti ketahanannya. Perkara ini telahpun diatasi pada model facelift 2019, namun ia masih belum didedahkan kepada umum.

Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Menurut Adzrai, selepas penambahbaikkan yang dibuat pada model facelift 2019 berkenaan, tuntutan waranti terhadap kotak gear CVT tersebut telah menurun sebanyak 80%, dan ini menunjukkan bahawa kotak gear CVT berkenaan kini telah terbukti boleh diharap. Oleh itu, ini menjadi satu lagi faktor untuk Proton mengekalkan kotak gear CVT tersebut berbanding mencari kotak gear lain yang mungkin akan membawa risiko baharu.

Jadi, Proton mengambil keputusan untuk terus menggunakan kotak gear CVT Punch tersebut, dalam masa yang sama memperhalusinya dengan mengambil transmisi CVT pada Toyota Vios dan Honda City sebagai penanda aras.

Proton sebelum ini sudah pun memberikan talaan bagi membolehkan kotak gear CVT Punch berkenaan memberikan respon yang jauh lebih baik pada model kemaskini 2017 berbanding versi asal 2014 yang membuatkan enjin ‘meraung tidak tentu pasal’. Ia juga kini berfungsi jauh lebih senyap tanpa bunyi berdengung masuk ke dalam kabin.

Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Manakala pada model 2021 ini, kotak gear CVT tersebut diberikan semula mod SAT (stepped automatic transmision), yang membolehkan pemandu merasa tukaran gear maya seakan kotak gear AT. Berbeza dengan versi SAT yang pernah diberikan pada model-model terdahulu Proton, ia kini sudah tidak lagi menampilkan butang untuk mengaktifkannya. Mod berkenaan akan diberikan secara automatik sama ada pada posisi gear ‘D’ atau ‘S’ secara automatik berdasarkan situasi.

Menurut Adzrai, menerusi sistem baharu ini, fungsi ‘stepped’ tersebut tidak akan diaktifkan sekiranya pemandu hanya menekan pedal pendikit sekitar 60% hingga 70%. Lebih dari itu barulah pemandu akan ‘merasa’ tukaran gear berkenaan, dan ia berbeza dari versi awalan SAT di mana pemandu perlu menekan semula butang berkenaan untuk kembali ke mod CVT biasa.

Adzrai menjelaskan bahawa ia diubah sebegini kerana butang SAT pada model terdahulu berkenaan didapati jarang digunakan oleh pemandu, dan apabila ia ditekan, mod tersebut memberikan “pemanduan yang tidak lancar”.

Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

Dengan memberikan nisbah gear maya ini juga ia boleh mengelakkan dari terjadinya bunyi enjin yang mengaum seakan pengering rambut yang biasa dihasilkan oleh kereta dengan kotak gear CVT apabila ia memecut dengan pedal pendikit ditekan sepenuhnya, kerana ia sentiasa mahu mengekalkan nisbah gear sepadan dengan lengkung kuasa enjin – sekitar 5,000 rpm hingga 5,500 rpm – kemudian baru diikuti dengan kelajuan yang semakin meningkat.

Oleh sebab itu, mod SAT berkenaan hanya akan aktif ketika kereta dipecut sepenuhnya, manakala ketika pemanduan santai, kotak gear akan memberikan tukaran gear CVT biasa yang lebih lancar dan tidak terasa sebarang sentakan.

Dengan perubahan yang agak besar dibuat pada perisian kotak gear CVT ini bagi memperhalusi operasinya pada Iriz dan Persona 2022, mengapa Proton seolah-olah tidak menyiarkannya penambahbaikkan tersebut pada bahan-bahan promosi ketika ia dilancarkan bulan lalu?

Menurut Proton, mereka mengambil keputusan untuk mengalihkan perhatian pengguna terhadap fungsi baharu lain pada dua model yang disegarkan tersebut termasuk sistem infotainmen GKUI yang membolehkan sistem arahan suara “Hi Proton” mengawal sistem pendingin hawa dan tingkap kuasa sebelah pemandu, serta varian baharu Iriz Active yang nampak seperti SUV.

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

Proton Persona 1.6L Premium 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Alson P on Sep 03, 2021 at 4:54 am

    Iriz/Persona facelift sepatutnya menggunakan enjin Yang sama dengan exora 1.6L CFE 138hp

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required