Mercedes-Benz hari ini telah mendedahkan lima model kenderaan elektrik, dan yang paling penting adalah ini – EQE. Ia boleh dianggap seperti sebuah E-Class elektrik, dan diletakkan di bawah EQS, sekaligus menjadikan ia lebih mampu milik. Model ini dibina atas platform Electric Vehicle Architecture yang sama seperti EQS, dan berkongsi banyak komponen, teknologi serta perincian rekaan.

Dengan dimensi badan 4,946 mm panjang, 1,961 mm lebar dan 1,512 mm tinggi, EQE mempunyai saiz seperti CLS, manakala jarak roda 3,120 mm adalah 90 mm lebih pendek berbanding EQS. Kalau dibandingkan dengan S-Class W223, jarak roda ini adalah lebih panjang, dan disebabkan itu, EQS dapat menyediakan ruang dalam yang lebih luas.

Gril tertutup berwarna hitam di hadapan kenderaan ini dipanggil sebagai “Black Panel” dan ia boleh ditambah dengan corak berlampu yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Di sebaliknya terdapat pelbagai sensor untuk sistem bantuan pemandu yang ada padanya.

Lampu pada EQE ini juga sangat canggih, di mana ia menggunakan 1.3 juta cermin mikro untuk menghasilkan resolusi lebih 1.6 juta pixel. Ini membenarkan lampu itu memancar amaran, tanda jalan serta garis petunjuk ke atas jalan, dan dapat menghadang lampu tinggi daripada menyilaukan orang lain secara lebih tepat.

Dari bahagian tepi anda akan dapat melihat permukaan yang licin kerana ia menggunakan pembuka pintu yang rata dan hanya akan keluar apabila ditekan. Rekaan rim 19 serta 20 inci yang disediakan, bersama bahagian hadapan tertutup dan bawah badan yang licin meningkatkan lagi kecekapan aerodinamik, tetapi Mercedes tidak mendedahkan catatan sebenarnya.

Di belakang terdapat lampu LED yang bersambung dari kiri ke kanan, menggunakan rekaan tiga dimensi, dan spoiler kecil di atas penutup but. Turut disediakan adalah pakej penggayaan Electric Art dan AMG Line, yang seperti biasa, memberikan rekaan bampar hadapan dan belakang lebih agresif.

Masuk ke dalam (pintu bahagian pemandu automatik disediakan sebagai pilihan tambahan), keadaannya sekali lagi sama seperti EQS, dengan MBUX Hyperscreen disediakan sebagai pilihan tambahan. Ia terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh OLED 17.7 inci di tengah dan skrin sesentuh OLED 12.3 inci di hadapan penumpang. Kesemuanya menggunakan lapisan cermin anti calar.

Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaru pada kereta ini membenarkan kawalan pendingin hawa serta Artificial Intelligence (AI) yang boleh memaparkan cadangan pada masa-masa tertentu. Penumpang hadapan juga boleh menonton televisyen, video atau melayari internet mengggunakan skrin ini, dan jika ia mengesan pemandu juga menoleh, skrin akan dimalapkan sedikit.

Turut dipertingkat adalah sistem kawalan suara “Hey Mercedes”. Ia kini boleh mengesan suara penumpang yang berbeza, dan membenarkan anda menjawab panggilan telefon tanpa perlu perkataan khas dan berhubung dengan peranti pintar rumah. Servis strim muzik seperti Spotify, Amazon Music dan Apple Music telah dimasukkan sekali dalam sistem infotainmen ini.

Dalam keadaan standard, bahagian dalam kenderaan ini dibalut dengan Neotex, yang dikatakan memberi rasa seperti kulit nubuck, dan dipadankan dengan sama ada kemasan kayu atau corak tristar menyala. Sistem lampu suasana 64 warna juga boleh memberikan maklum balas visual untuk Autonomous Emergency Braking serta pemerhati titik buta.

Dua sistem ini datang terus dalam Driving Assistance Package, sementara Driving Assistance Package Plus menambah sistem lain seperti Distronic Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist dan Lane Change Assist. Pemilik juga boleh mendapatkan sistem bantuan letak kereta kawalan jauh (disambung dengan telefon pintar), bantuan letak kereta serta sistem letak kereta autonomous Level 4, Intelligent Parking Pilot.

Waktu pelancaran, ada dua varian yang akan ditawarkan, tetapi hanya perincian untuk satu sahaja yang disiarkan, iaitu EQE 350 dengan satu motor elektrik di belakang, berkuasa 215 kW (292 hp) dan 530 Nm tork. Varian lain dalam perancangan adalah versi dua motor 4Matic pacuan semua roda dan versi prestasi berkuasa 500 kW (680 PS).

Bateri lithium ion 90 kWh pada kenderaan ini dapat memberikan jarak gerak antara 545 hingga 660 km, dan fungsi Navigate dengan Electric Intelligence dapat mengambil kira kedudukan stesen pengecas apabila membuat cadangan jalan paling pantas ke destinasi.

EQE dapat menerima pengecas AC sehingga 22 kW, dan memenuhkan bateri dalam masa 4.25 jam (8.25 jam apabila menggunakan pengecas 11 kW). Cara lain, anda boleh mengecas kereta dengan pengecas pantas DC 170 kW, yang boleh memenuhkannya dalam masa 32 minit dan memberikan jarak gerak sehingga 250 km setelah dicas selama 25 minit.

Suspensi terdiri daripada four-link di hadapan dan multilink di belakang, dengan unit udara Airmatic dan rear-wheel steering (sehingga 10 darjah) disediakan sebagai pilihan tambahan. Penjualan global EQE akan bermula tengah tahun hadapan.