Volkswagen ID. Life Concept diperkenal – EV kelas permulaan dengan konsol permainan video, projector

Volkswagen ID. Life Concept diperkenal – EV kelas permulaan dengan konsol permainan video, projector

Satu lagi model ID. keluaran Volkswagen diperkenalkan sewaktu IAA Mobility Show 2021 di Munich, Jerman. Ia adalah sebuah kereta elektrik kategori permulaan, yang diberitahu bukan sahaja boleh menjadi sebuah kenderaan, tetapi juga pusat permainan video, pawagam mini atau ruang rehat.

Rekaan ID. Life ini adalah lebih ringkas berbanding model ID. lain sebelum ini, dan ia malah hampir menyerupai Honda e. Antara ciri rekana penting pada kereta ini adalah warna dua tona, yang mengasingkan bahagian besi dan kaca. Bumbungnya juga boleh dibuka jika mahu.

Turut diterapkan adalah konsep lestari atau guna semula, termasuklah pada cat yang digunakan. Bumbung dan pelindung hadapan dibuat sepenuhnya daripada botol PET kitar semula sementara keseluruhan bahagian bawah papan pemuka dan keliling tempat duduk belakang dibuat daripada kayu asli.

Volkswagen ID. Life Concept diperkenal – EV kelas permulaan dengan konsol permainan video, projector

Tempat duduk dan kulit pintu dibalut dengan gentian mikro ArtVelours, manakala tayar pula dibuat daripada campuran minyak bio, getah asli serta sekam padi.

Mereka yang gemar bermain permainan video dan menonton filem akan menggemari kereta ini kerana ia dilengkapi dengan konsol permainan serta set pemancar (projector). Apabila menonton filem, pedal akan bertukar fungsi menjadi pengawal media, tetapi kami rasa kemungkinan ia digunakan pada kereta produksi adalah sangat rendah kerana isu keselamatan.

Barangan elektronik lain, seperti komputer boleh disambung melalui soket 230 volt, 16 amp yang disediakan. Seperti yang biasa ditunjukkan pada model konsep masa hadapan, kereta ini juga menggunakan tempat duduk yang fleksibel. Kedua-dua tempat duduk hadapan dan belakang boleh dilipat sampai rata sepenuhnya, dan digunakan sebagai katil ataupun ruang barangan yang berukuran dua meter.

Kamera digunakan untuk menggantikan cermin sisi dan cermin pandang belakang, sementara di stereng terdapat panel sentuhan untuk mengawal pelbagai fungsi. Tiada panel paparan infotainmen pada kereta ini, kerana pengguna boleh meletakkan telefon pintar atau tablet pada papan pemuka, disambung kepada kenderaan dan seterusnya memainkan media termasuk pada projector.

ID. Life dibina atas platform MEB versi yang lebih kompak, dan ia menjadi model pacuan roda hadapan pertama yang menggunakan asas MEV. Satu motor 172 kW (234 PS) digunakan untuk menggerakkan roda hadapan, seterusnya membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Bateri 57 kWh padanya dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 400 km.

Tiada harga jualan yang didedahkan setakat ini, tetapi Volkswagen memberitahu mereka mensasarkan harga permulaan sekitar 20,000 euro (RM98k) bagi kereta elektrik permulaan seperti ID. Life. Mereka menambah, ciri mampu milik adalah langkah penting ke arah penggerak elektrik penuh. Menjelang 2030, Volkswagen menjangka EV akan mencatat jualan 70% daripada keseluruhan jumlah kenderaan di Eropah, dan 50% di Amerika Syarikat dan China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required