Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

Biasanya untuk mereka yang mementingkan prestasi berbanding rupa, saiz roda yang digunakan turut diambil kira. Untuk kereta dengan kuasa yang ‘biasa-biasa’, rim yang terlalu besar sudah tentu membuatkan kereta tersebut kurang daya pecutan kerana diberikan ‘kaki’ yang lebih berat.

Toyota Vios GR Sport dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm, sama seperti seperti Vios biasa. Namun ia menerima rim aloi 17-inci bersama tayar Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R17 yang lebih besar, berbanding Vios 1.5G yang diberikan rim aloi 16-inci dengan tayar 195/50R16.

Jadi dengan saiz roda yang lebih besar, adakah ia akan menjejaskan pecutan Vios GR Sport berkenaan? Menurut pelumba profesional negara yang juga duta Toyota Gazoo Racing Malaysia, Tengku Djan Ley dalam hantaran video terbaharu di akaun Facebook rasminya, walaupun angka yang dihasilkan adalah sama, sistem rangkaian kuasa untuk Vios GR Sport ini sebenarnya telah di tala semula bagi mengoptimumkan penghasilan kuasanya.

Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

Menurut Tengku Djan, talaan pada pedal pendikit Vios GR Sport ini telah diusik semula bagi memberikan respon yang lebih baik dan lebih tajam, manakala putaran maksima enjin pula telah dinaikkan 250 rpm lebih tinggi dari biasa.

Kotak gear CVT pada Vios GR Sport ini juga menerima sentuhan semula dengan diberikan 10-kelajuan maya yang bukan sahaja memberikan rasa tukaran gear seperti kotak gear AT biasa tanpa ia mengaum seperti pembersih vakum, malah turut memastikan putaran enjin berada dalam rpm yang optimum pada setiap masa.

Jadi dengan unit rangkaian kuasa yang telah diperhalusi semula ini, Vios GR Sport mendapat manfaat pengendalian yang lebih baik menerusi pemadanan tayar berprestasi yang lebih lebar tanpa mengorbankan daya pecutannya, dakwa Tengku Djan yang juga dikenali dengan gelaran “Prince of Drift”.

“Dengan talaan baharu mod Sport, secara asasnya membolehkan saya memandu Vios GR Sport ini sama seperti memandu kereta lumba Vios saya.

Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

“Macam mana ia bekerja? Apabila anda membrek ketika tiba di selekoh contohnya, ia akan secara automatik menurunkan gear untuk anda dan mencari kelajuan putaran enjin yang ideal berdasarkan kelajuan anda ketika tiba di selekoh, dan dalam masa yang sama anda bertahan dalam satu gear ketika anda meredah selekoh, membolehkan anda mengawal pedal pendikit dipertengahan selekoh sebelum memecut semula keluar dari selekoh.

“Ia sebenarnya adalah cara yang sama jika anda memandu kereta dengan transmisi manual,” jelas Tengku Djan.

Bagi yang belum mengetahui, Tengku Djan juga merupakan juara keseluruhan bagi siri perlumbaan Vios Challenge TGR Racing Festival dalam kategori tertinggi Super Sporting musim pertama. Beliau kemudiannya hanya bertindak sebagai pengurus pasukan bagi musim kedua perlumbaan tersebut, kemudian kembali berlumba pada musim ketiga dan sekali lagi bergelar juara.

GALERI: Toyota Vios GR Sport 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • izzat on Nov 19, 2021 at 8:02 pm

    sport rim vios GR ni boleh masuk kat yaris 1.5 tak ?
    sport rim vios GR ni ada jual ke ?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required