Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

Sekumpulan aktivis alam sekitar di Amerika Syarikat kini menyeru orang ramai agar memboikot Toyota kerana mendakwa gergasi automotif Jepun berkenaan kini menggunakan wang dan pengaruhnya bagi memperlahankan peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV).

Menurut laporan Electrek, ketika pengeluar automotif lain kini sedang menggandakan usaha bagi peralihan kepada EV berkenaan, Toyota dilihat masih mempertahankan teknologi hibrid dan kenderaan sel bahan api mereka.

Toyota dituduh sedang memperlahankan usaha kolektif untuk EV menerusi usaha-usaha yang dijalankan secara melobi. Salah satu contoh di Amerika Syarikat adalah jenama berkenaan menentang program insentif EV persekutuan yang baharu sahaja diumumkan oleh negara berkenaan.

Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

Toyota bZ4X, model pertama elektrik penuh Toyota yang hanya akan diproduksi pada 2022, salah satu dari 15 model EV Toyota yang akan dilancarkan menjelang 2025

Menerusi program tersebut, setiap pengeluar kini tidak lagi dihadkan jumlah unit kenderaan bagi menerima insentif yang ditawarkan. Insentif tersebut diberikan dalam bentuk diskaun, yang secara langsung membolehkan pembeli lebih berjimat ketika membeli kereta elektrik.

Toyota juga sebelum ini dilihat menyebelahi presiden Trump dalam tuntutan mahkamah bagi menghentikan California dari melaksanakan standard emisi lebih ketat berbanding yang digunakan oleh persekutuan. Namun tuntutan berkenaan ditarik balik apabila presiden Joe Biden mula mengambil alih kerajaan Amerika Syarikat.

Kumpulan aktivis ini menyeru orang ramai agar memboikot Toyota kerana mereka “tidak mahu lihat alasan”. Boikot berkenaan diketuai oleh Paul Scott, pengasas kumpulan advokasi Plug In America. Dia sebelum ini sudah pun membuat bantahan di pejabat Toyota Santa Monica.

Kereta berkuasa sel bahan api hidrogen Toyota Mirai (kiri) dan Toyota Venza Hybrid (kanan)

“Jam iklim sedang berdetik dan kami perlu mula menekan pencemar di mana ia melibatkan – wang. Saya bekerja di pengedar EV, walaupun ia bukan Toyota, dan saya boleh beritahu anda bahawa ini merupakan peluang terbaik kita untuk berubah, bersama perundangan persekutuan. Penjual kereta tak suka kehilangan walaupun satu jualan dan mereka tak suka publisiti buruk. Toyota berhak menerima setiap daripadanya kerana mereka sentiasa memastikan kita ketagih terhadap gasolin,” kata Scott.

Pada 21 September, kira-kira 15 kumpulan aktivis alam sekitar bersama-sama menandatangani surat yang ditujukan kepada Toyota, meminta untuk duduk berbincang dengan presiden dan CEO Toyota Motor North America Tetsuo Ogawa berkenaan perkara ini.

Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

Kereta lumba Toyota Corolla dengan enjin pembakaran dalaman berkuasa hidrogen yang diuji sendiri oleh presiden Toyota, Akio Toyoda dalam perlumbaan Super Taikyu di Jepun untuk penyelidikan teknologi berkenaan

“Malangnya, usaha Toyota untuk melobi Kongress bagi beralih dari visi ini serta tekanan kepada ahli Kongress untuk mengurangkan dana serta kredit cukai yang dikenakan bagi akses rakyat Amerika kepada EV sifar pencemaran meletakkan masa hadapan pengangkutan negara dan dunia serta iklim dalam bahaya.”

“Sebagai kumpulan kolektif dari pelbagai organisasi yang gusar terhadap apa akibat besar yang akan berlaku dari langkah berkenaan, kami minta Toyota untuk tidak menghalang halatuju pembiayaan Kongress dari visi presiden. Sebaliknya, kami desak agar anda menyokong sepenuhnya pelaburan kenderaan elektrik bateri dalam semua mod pengangkutan, dan dalam semua yang berkaitan dengan pengecaj EV sifar pencemaran serta infrastruktur lain yang diperlukan,” tulis surat tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required