Pasaran servis e-hailing di Malaysia kini disertai oleh satu lagi syarikat – inDriver, penyedia servis e-hailing yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa mereka mempunyai asas pengguna lebih dari 100 juta orang di 500 bandar dalam 34 buah negara.

Menurut inDriver, operasi mereka di Malaysia sudah pun berada di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungau Petani Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu serta bandar-bandar di bahagian Timur tanah air iaitu Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Apa yang membezakan inDriver dengan perkhidmatan lain, ia mempunyai fungsi Real Time Deals (RTD), yang membolehkan penumpang meminta perjalanan dengan menawarkan tambang yang mereka rasa sesuai dengan perjalanan yang dirancang.

Pemandu yang berhampiran kemudian akan membuat keputusan sama ada mahu mengambil tawaran yang diberikan, dan jika mereka tidak bersetuju peluang tersebut boleh sahaja dilepaskan atau memberikan tawaran harga tambang lain yang lebih berpatutan kepada penumpang.

Pemandu tidak akan terus ditugaskan untuk mengambil pelanggan yang sedang menunggu, dan ini bermaksud penumpang juga akan menerima tawaran balas dari pemandu-pemandu lain yang berhampiran. Pelanggan boleh memilih pemandu yang memenuhi kehendak mereka berdasarkan harga tambang, rating pemandu, jangkaan masa tiba, atau kenderaan yang digunakan.

Apa yang kami lihat menerusi aplikasi inDriver ini, buat masa sekarang mereka hanya beroperasi dengan kaedah bayaran tunai sahaja dan masih belum menawarkan opsyen bayaran menggunakan kad kredit atau e-wallet.

Kami telah membuat perbandingan servis antara AirAsia Ride dan Grab sebelum ini

Fungsi lain yang ditawarkan pada aplikasi inDriver ini termasuk kebolehannya untuk berkongsi lokasi GPS seseorang dan juga perincian perjalanan dalam masa sebenar kepada kontak yang dipercayai, serta butang kecemasan yang akan menghubungkan pemandu atau penumpang terus ke agensi pihak berkuasa jika berlaku kecemasan

“inDriver benar-benar percaya bahawa ride-hailing perlulah boleh diakses, berpatutan dan fleksibel. Dengan membenarkan penguna-penguna untuk menentukan sendiri dan bersetuju terhadap terma perjalanan, kami mampu untuk menentang algoritma yang digunakan oleh syarikat-syarikat ride-hailing lain yang menaikkan tambang ketika waktu puncak, keadaan trafik dan sejarah permintaan,” kata ketua pegawai operasi inDriver, Egor Federov.

Selain inDriver, AirAsia Ride merupakan satu lagi servis e-hailing yang berada dalam pasaran Malaysia, dilancarkan pada penghujung Ogos. Syarikat berkenaan telah ditubuhkan selepas AirAsia membeli Dacsee, iaitu syarikat e-hailing yang telah dilancarkan di sini pada 2018.

Sebelum ini kami telahpun membuat perbandingan servis AirAsia Ride dengan gergasi e-hailing di Malaysia iaitu Grab yang telah pun membeli Uber Asia Tenggara pada Mac 2018. Mana lebih baik antara kedua-duanya? Baca laporan yang telah kami buat pada PAUTAN INI.