Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

2022 Forte

Kia Forte (juga dikenali sebagai Cerato di Malaysia atau K3 di Korea Selatan) kini diperkenalkan dalam versi kemaskini 2022 di pasaran Amerika Syarikat, yang menyaksikan ia menerima pelbagai tingkat taraf kelengkapan dari segi teknologi terhubung dan juga keselamatan aktif.

Pada pasaran negara berkenaan, Forte ditawarkan dalam empat pilihan tahap kemasan iaitu FE, LXS, GT-Line, serta model paling sporty dan berkuasa GT.

Bagi penggayaan luaran, Forte yang disegarkan ini menerima rupa yang sama dengan K3 facelift yang telah pun diperkenalkan di Korea pada April lalu. Ia menampilkan lampu nyalaan siang LED bina dalam dengan dua jalur putus-putus pada lampu hadapan, gril ‘hidung harimau’ yang disentuh semula, manakala model GT-Line dan GT menerima lampu kabus LED yang disusun serong selari dengan bentuk gril bawah, dan berkongsi rekaan lampu belakang LED.

Model FE hanya diberikan rim besi 15-inci, manakala model lebih tinggi diberikan rim aloi dengan saiz 16-inci dibalut tayar 205/55R16 untuk varian LXS dan 17-inci dengan tayar 225/45R17 bagi varian GT-Line. Bagi versi GT pula, ia dilengkapi rim aloi 18-inci dengan tayar 225/40R18.

Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

Kesemua varian kini datang standard dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), manakala sejumlah 15 sistem lagi boleh dipilih secara opsyen. Ia termasuk sistem bantuan mengikut lorong, cruise control pintar berdasarkan sistem navigasi, bantuan pemanduan lebuhraya dan amaran selamat keluar.

Sistem bantuan pemanduan lain sedia ada tetapi telah dipertingkat pada Forte 2022 ini pula termasuk bantuan pengelak pelanggaran titik buta, bantuan pengelak pelanggaran hadapan (brek kecemasan automatik) yang mengesan pejalan kaki secara standard (pengesan penunggang basikal ditawarkan secara opsyen) dan bantuan pengelak pelanggaran lintasan trafik belakang.

Manakala sistem lain seperti amaran tumpuan pemandu, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong dan bantuan kekal lorong terus dibekalkan secara standard bagi semua varian Forte ini.

Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

2022 Forte

Bagi kelengkapan dalaman pula, model FE dan LXS menerima ciri standard seperti paparan TFT LCD berwarna 4.2-inci pada kluster instrumen, skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz lapan-inci dan juga hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Model GT-Line dan GT diberikan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci.

Juga sama seperti K3 pasaran Korea, Forte pasaran Amerika ini juga sudah diberikan brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold bagi memberikan ruang storan lebih baik pada konsol tengah. Penumpang belakang juga kini diberikan port pengecas USB.

Sistem Smart Key yang membolehkan enjin dihidupkan pada jarak jauh diberikan secara standard pada model GT-Line dan GT. Manakala bagi upholsteri, pilihan balutan kulit sintetik SynTex ditawarkan secara opsyen.

Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

2022 Forte

Model pasaran Amerika Syarikat ini dijana dengan dua pilihan rangkaian kuasa. Model FE, LXS dan GT-Line menerima enjin 2.0 liter MPI NA empat silinder, berkuasa 147 hp dan tork maksima 179 Nm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear IVT iaitu transmisi CVT yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat pada sistem konvensional.

Bagi model GT penuh pula, ia dijana oleh enjin petrol 1.6 liter dengan pengecas turbo yang menghasilkan 201 hp dan tork maksima 365 Nm. Pembeli boleh memilih sama ada mahukan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual. Model GT juga menerima suspensi multilink pada bahagian belakang berbanding torsion beam pada varian tanpa turbo.

Untuk harga, Forte 2022 dijual pada harga bermula US$19,090 (RM79,643) bagi model asas FE, sehingga US$23,490 (RM98,000) untuk model paling berkuasa GT. Pemilik yang mahukan kotak gear manual perlu untuk menambah harga Forte GT mereka sebanyak US$1,000 (RM4,172).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required