Selepas siri pertama Ducati World Premiere 2021 (DWP) mendedahkan Multistrada V2, siri kedua pula melibatkan dua versi model Scrambler iaitu Scrambler 1100 Tribute Pro dan Scrambler Urban Motard, dengan masing-masing membawa keunikan tersendiri.

Melihat terlebih dahulu kepada Scrambler 1100 Tribute Pro, ia adalah sebuah model yang dihasilkan dengan konsep penghormatan kepada Ducati 450 Desmo Mono dan Ducati 750 Sport tahun 70-an, yang menjadi antara model terawal menggunakan enjin v-twin penyejukan udara Ducati 50 tahun dahulu.

Selain warna kuning Giallo Ocra serta kerangka Trellis serba hitam, model ini ditambah lagi dengan tanda-tanda grafik seperti motosikal lumba 70-an Ducati seperti logonya, yang dibuat oleh Giugiaro, rim spoked hitam, cermin sisi bulat serta tempat duduk coklat.

Pada bahagian enjin, model ini masih menggunakan pakej sama seperti Scrambler 1100 yang lain, iaitu unit dua silinder V 1,079 cc berkemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 92 Nm tork pada 4,750 rpm. Pengguna disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu Active, Journey dan City, sementara kawalan cengkaman dan Cornering ABS datang secara standard.

Datang dengan rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli MT60 RS, Scrambler Tribute Pro menyediakan tinggi tempat duduk 810 mm sementara tangki bahan api menyediakan kapasiti 15 liter. Semua lampu model ini adalah unit LED, dan didatangkan dengan motf ‘X’ di hadapan.

Kemudahan lain yang disediakan pada Scrambler Tribute Pro adalah seperti soket USB di bawah tempat duduk dan pilihan tambahan Ducati Multimedia System yang boleh memberikan sambungan kepada telefon pintar. Dalam keseluruhan pilihan Scrambler 1110, Scrambler 1100 Dark Pro disediakan sebagai pilihan permulaan dan di atasnya terdapat Scrambler 1100 Sport Pro.

Satu lagi Scrambler baru yang diperkenalkan adalah daripada kategori Scrambler 803, dinamakan sebagai Scrambler Urban Motard. Grafik yang digunakan menyamai konsep seperti Hypermotard 950 RVE, dan ia dihasilkan oleh Centro Stile Ducati untuk mengetengahkan imej seni jalanan dan grafiti.

Walaupun menggunakan nama motard, suspensi model ini masih sama seperti Scrambler 803 biasa, iaitu fork USD Kayaba 41 mm, serta monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban di belakang, menghasilkan tinggi tempat duduk 798 mm.

Enjin juga masih sama, iaitu unit dua silinder V penyejukan udara 803 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Tiada pilihan mod tunggangan pada model ini.

Pada bahagian tayar, yang dipasang pada rim jenis spoked, Scrambler Urban Motard menggunakan unit Pirelli Diablo Rosso III bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. Brek menggunakan cakera 330 mm tunggal berserta angkup empat piston di hadapan, sementara belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston – Cornering ABS diberikan secara standard.

Urban Motard ini menyertai pilihan lain yang disediakan dalam barisan model Scrambler 803 seperti Icon, Icon Dark, Nightshift dan Desert Sled yang paling tinggi. Di Malaysia, Scrambler Nightshift baru sahaja dilancarkan Ogos lalu dan ia dijual pada harga RM65,900.

GALERI: Ducati Scrambler Tribute Pro

GALERI: Ducati Scrambler Urban Motard