Pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, iaitu Bermaz dikatakan mempunyai perancangan untuk membawa masuk Mazda MX-30 Electric ke Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Maybank Investment Bank dalam kaji selidik “harapan Bajet Automotif Malaysia” mereka.

Laporan yang memberikan fokus kepada kumpulan automotif senarai awam di Malaysia serta rancangan mereka untuk elektrifikasi ini menyatakan bahawa ketibaan MX-30 versi EV ini adalah bergantung kepada kelulusan ibu pejabat Mazda serta sama ada polisi EV baru nanti cukup menarik ataupun tidak.

Mazda MX-30 Electric didedahkan kali pertama sewaktu Tokyo Motor Show 2019, di mana ia menggunakan motor elektrik 145 PS (107 kW) serta menyediakan 271 Nm tork untuk dihantar kepada roda hadapan melalui kotak gear satu kelajuan. Bateri yang digunakan mempunyai kapasiti 35.5 kW, dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 224 km.

MX-30 boleh dicas menggunakan AC sehingga 6.6 kW dengan soket Type 2, serta pengecas pantas DC sehingga 50 kW menggunakan soket CCS. Menggunakan pengecas AC, ia akan mengambil masa tiga jam dari tahap 20% ke 80%, sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diperlukan cuma 36 minit.

MX-30 juga terdapat dalam versi hibrid ringkas, yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter, sistem M Hybrid 24 volt serta transmisi automatik enam kelajuan, tetapi nota yang dikeluarkan oleh Maybank IB secara khusus merujuk kepada “BEV”, iaitu kenderaan elektrik bateri.

Mereka juga tidak memberi sebarang garis masa, tetapi pada tahun lepas telah keluar satu laporan oleh AmInvestment Bank yang mengatakan MX-30 bakal tiba pada Oktober 2020. Ia bagaimanapun tidak berlaku, mungkin kerana pandemik, tetapi cukup untuk kita tahu bahawa Bermaz mempunyai perancangan untuk pengenalan model elektrik.

laporan itu juga menyatakan bahawa Bermaz sudah mengenal pasti pengendali perkhidmatan mengecas kenderaan persendirian (contohnya ChargEV) yang berpotensi menjadi rakan kerjasama, dan model EV mereka (Kia dan Peugeot juga sekarang di bawah Bermaz) akan mempunyai pelan berasaskan langganan untuk mengatasi masalah kos dan waranti.

GALERI: Mazda MX-30