Honda City Hatchback 2022 – video produk disiar, tunjuk kelebihan berbanding Toyota Yaris dan lain-lain

Lepas ‘bakar line’ dengan video-video yang menunjukkan kelebihan Honda City Sedan berbanding kereta jenama lain sebelum pelancaran model berkenaan dilancarkan tahun lalu, Honda Malaysia nampaknya melakukan strategi yang sama terhadap model kembarnya, City Hatchback 2022 – video produk ini disiarkan sejurus selepas ia diumumkan telah boleh ditempah pagi tadi.

Video ini menampilkan varian tertinggi dan juga yang paling sporty dalam barisan City Hatchback pasaran Malaysia iaitu model RS, yang hanya tampil dengan unit penjana e:HEV Hybrid sama seperti versi sedan. Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan enjin petrol kitaran Atkinson 1.5 liter digandingkan dengan dua motor elektrik.

Tidak seperti sistem hibrid biasa, sistem i-MMD ini membolehkan tayar dijana sepenuhnya dari motor elektrik sambil enjin petrol hanya mengecas bateri hibrid, atau berfungsi bersama-sama untuk memacu roda pada kelajuan lebih tinggi. Secara keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan kuasa 109 PS dengan tork maksima 253 Nm.

Manakala bagi model yang dijana enjin petrol sepenuhnya (varian 1.5 V dan ke bawah), ia dijana oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

Tajuk video ini sahaja sudah cukup provokasi, “Y stay average? Step up your game”. Kalau anda perasan, Toyota sentiasa menggunakan abjad “Y” berkenaan dalam bahan-bahan promosi Yaris, iaitu lawan terus City Hatchback dalam pasaran model hatchback segmen-B di Malaysia.

Seawal video tersebut Honda telah menunjukkan fungsi penghidup enjin bersama penghidup pendingin hawa kawalan jauh pada model RS ini, yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin dari jauh sekaligus mengaktifkan sistem pendingin hawa, membolehkan kabin berkenaan disejukkan terlebih dahulu sebelum pemiliknya masuk.

Berbeza dengan satu lagi hatchback berwarna hijau (jelas sekali ia adalah Yaris dengan warna Citrus Mica Metallic), dimana pemandunya berpeluh-peluh ketika masuk ke kereta berkenaan kerana kabinnya masih panas.

Kemudian Honda menunjukkan pula fungsi “Ultra Seats” pada tempat duduk belakang yang boleh dilipat ke atas, membolehkan set gril diletakkan berdiri di ruang berkenaan, dan ia tidak boleh dibuat pada ruang sama untuk Toyota Yaris.

Honda turut menunjukkan fungsi LaneWatch yang mampu mengesan motosikal pada titik buta sebelah kiri, serta kelebihan tork 253 Nm memecut ketika memotong kenderaan lain. City Hatchback ini juga menerima liang pendingin hawa untuk kabin belakang, yang jarang ditawarkan untuk sebuah hatchback segmen-B. Model tertinggi RS juga menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, bersama brek parkir elektronik. Walau bagaimanapun, sistem-sistem termaju yang ditunjukkan pada video ini kebanyakkannya hanya ditawarkan untuk model RS.

Perincian lain yang turut tampil pada Honda City Hatchback versi RS dan versi V termasuk lampu hadapan LED penuh bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu kombinasi belakang LED dan juga rim aloi berdiameter 16-inci. Fungsi seperti penghidup enjin bersama penghidup pendingin hawa kawalan jauh dan Honda Lane juga hanya untuk RS dan V, manakala brek parkir elektrik (juga dengan fungsi autohold) hanya untuk RS sahaja.

Begitu juga pakej Honda Sensing, buat masa sekarang ia ditawarkan hanya pada model RS. Untuk rekod, sistem berkenaan baharu sahaja dipadankan pada model V untuk sedan menerusi varian baharu 1.5L V Sensing (model V tanpa Sensing masih ada dijual bersama).

Kelengkapan-kelengkapan dalam pakej Honda Sensing pada City Hatchback ini juga adalah sama degan versi sedan, termasuk sistem seperti cruise control adaptif (tanpa low speed follow), sistem brek pengelak pelanggaran (AEB, depan sahaja), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan, amaran keluar lorong dan juga lampu tinggi automatik.